Mac 06, 2009

UTP ISLAMICA : Suatu Permulaan











ISLAMICA Resource Centre ialah suatu institusi 
di bawah Unit Pentadbiran Masjid 
bermatlamat membumikan wacana intelektual di UTP. 


ISLAMICA digalaskan peranan mewujudkan 
suatu semangat dan keseriusan 
pembudayaan ilmu di dalam kampus ini 
bersarana jejak tradisi unggul 
ditandai universiti-universiti bertaraf dunia; 
yang secara berterusan 
meninggikan budaya keintelektualan 
di kalangan ahlinya (ya'ni lingkungan di UTP).  



ISLAMICA Resource Centre is an institution 
under Mosque Administration unit 
that promotes intellectual discourse in UTP. 


ISLAMICA hopes to create 
a vibrant and serious knowledge culture 
inside this campus 
by following the footsteps of great tradition 
set up by world class universities 
that constantly uphold the intellectual culture 
among its members.



________________________________________________





Assalamu'alaikum wr wb.

28 Safar, 1430 Hijriyyah. 23 Februari 2009. Jam 9.30 malam. Bertempat di ISLAMICA Resource Centre, Universiti Teknologi Petronas yang baru diasaskan. In sya Allah tak lama lagi akan dirasmikan, kata Wan Ahmad Fayhsal


Julung kalinya, diskusi intelektual ISLAMICA dibuka dengan tajuk "Democracy vs. Demagogy vs Shuracracy." Bukannya sekadar mencari pertentangan dari istilah-istilah ini, tapi lebih kepada memahami ke inti permasalahan masa ini, kesan, akibat dan kemungkinan-kemungkinan solusinya.


Sebelum itu, ringkas tentang diskursus intelektual ini: pentingnya didokongi lapang dada, tajam akal, jernih fikiran dan tulus hati dalam mencari keilmuan. Hanya kepada Allah kita mohon pertolongan.


Segala prejudis dan prasangka harus dilempar jauh-jauh, supaya penyelaman ilmu menjadi lebih bermakna, lebih tulus dalam medan bincang berteras perkongsian, luasnya ruang melontarkan pendapat demi pendapat, dan toleransi dalam berbeza pendapat. Perbincangan sebegini mencambah budaya ilmu, juga menyuburkan sifat beradab dalam berbeza pendapat, kesediaan memberi penerangan, lebih-lebih lagi kesediaan untuk memahami, dan mendapatkan sudut pandang yang lebih luas. Semuanya perlu didasari nawaitu yang terus-menerus, sama-sama mencari Kebenaran, al-Haqq, dengan upaya dan masa yang masih terhad di sini.. namun tetap, kita perlu mencari. Kebenaran itu ada, di mana-mana, bila masa pun; untuk dicari, direnung; untuk disingkap, diketemukan. Begitupun, kita semua perlukan guru. Mencarilah diri akan murabbi, mursyid buat pembimbing. (Mungkin rezeki belum tiba buat diri yang mendambakannya - Allahu a'lam. Allah lebih Tahu.





Menarik sekali dikongsikan, dalam pertemuan sulung ini didokongi oleh penyertaan sahabat-sahabat yang berbilang negara. Yang Malaysia tentunya saja, begitu ada jua Adji dari Indonesia, Aamir dari Pakistan dan Bayram dari Turkmenistan. Masih lagi belum disertai sahabat dari Sudan dan Mesir, namun in sya Allah akan mereka sertai nanti.  

Di ruang yang terhad ini, biarlah disajikan rumusan dan perkara-perkara yang dipersetujui bersama :

1. Bersetuju amalan utama yang dipraktikkan dalam politik kontemporari: bukan demokrasi - tetapi demagogi. Demagogi, ringkasnya adalah strategi demi meraih kuasa politik melalui perlakuan, perancangan, dan tindakan yang mengeksploitasi popular prejudice, emosi, kebimbangan dan harapan rakyat. Matlamat untuk memegang kuasa politik tercapai dengan meraih sokongan popular rakyat. Demagogi suatu penyalahgunaan demokrasi, dan hasilnya demokrasi tidak terjamin akan menegakkan keadilan dalam masyarakat. 


2. Ketelitian dan sifat berhati-hati amat perlu dalam membezakan antara politik Islam (Islamic politics) dan mempolitikkan Islam (politicization of Islam).


3. Keperluan yang sangat mendesak bagi ummah masa ini, kepada kelahiran generasi baru ulama' yang memahami permasalahan sentral dalam fardu 'ain dan fardhu kifayah, supaya segala masalah semasa yang bermacam-macam dapat diawasi dengan ilmu mereka. Ulama' perlu dapat memenuhi keperluan ummah masa ini, menjawab segala persoalan dengan mengutarakan penyelesaian yang tepat, berhikmah dan ditimbang tara dari segenap segi, lapis fikiran dan kemungkinan.

 
4. Pendidikan lebih utama berbanding politik, tanpa ilmu politik tiada ma'na. Untuk solusi yang benar dan berpanjangan, titik mula penyelesaian adalah dari bawah ke atas, luar-dalam. Meskipun mengambil masa, yang mendasar itulah akan mencengkam.


5. Perlu benar-benar kenalpasti keadaan semasa, fasa da'wah mekah (makkiyah) dan pembinaan negara Madinah (madaniyah) pada manhaj da'wah. Persepsi dalam da'wah perlu difahami bersesuaian dengan latar tempat dan masa. Rujuk pada Sirah Nabawiyah, sejarah ummah. Memahami sejarah penting untuk mengambil ibrah, iktibar dari sunnatullah dan naik-turun tamadun. 


________________________________________________


Akan datang

Semua pelajar UTP terutamanya, dan semua yang berminat dijemput hadir. Penyertaan dari sahabat-sahabat Muslim (Muslimin dan Muslimat), serta non-Muslim amat dialu-alukan. 
(Klik untuk gambar dengan saiz sebenar)

[1]




Wacana : McDonaldization vs Islamization of Knowledge - Pandangan awal
ISLAMICA Resource Centre 
(berhadapan Pejabat Unit Pentadbiran Masjid, Masjid lama UTP)
Isnin, 2 Mac 2009
9.00 malam - 10.30 malam
Medium Bahasa : Bahasa Inggeris/Bahasa Melayu 

Perbincangan tentang pempakejan ilmu dalam bentuk yang menarik dan di'bungkus'kan - ibarat McDonalds - cantik, menarik, mudah, segera - tapi tanpa makna, memudaratkan. Perbandingannya terhadap gagasan Islamisasi ilmu - lanjutan dari diskursus pertama - pemula penyelesaian, adalah ilmu. 

[2]



Kuliah: The Miracles of Islam
 Masjid An-Nur, UTP
Rabu, 4 Mac 2009
Selepas solat Maghrib.


In sya Allah, sebarang maklumat tambahan menyusul nanti.
Wassalam.

Pautan berkaitan:
Penampalposter [1] [2]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan