Disember 21, 2009

Syarahan Perdana Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas


Syarahan Perdana Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas
di Institut Integriti Malaysia, pada 13 Disember 2009



Gambar : Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas & Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud



*sekadar sebaran di blog ini, sumbernya di sini

* *Suatu nota titipan penulis asal buat pembaca:
"Ini adalah catatan bebas ana yang ditulis dengan bahasa
yang sangat ringkas dan dicatat secara langsung ketika dalam majlis syarahan Prof
(yang dibuat dalam Bahasa Inggeris) pada 13 Disember 2009 di IIM (Institut
Integriti Malaysia). Dengan penuh rendah diri dan ampun maaf, segala
kelemahan dalam tulisan ini adalah atas sebab ana yang mungkin tidak berupaya
memahami segala apa yang telah disampaikan oleh Prof Syed Muhammad
Naquib al-Attas. Bagi sesiapa yang memahami dengan lebih jelas, harap dapatlah
memberi komentar kepada isi syarahan yang dicatat oleh ana dalam serba kekurangan ini."


Al-Quran berbicara tentang ilmu. Al-Quran berbicara tentang roh. Al-Quran berbicara tentang dunia ghaib dan dunia nyata. Al-Quran berbicara tentang sejarah. Pendek kata, al-Quran merangkumi segala fundamental asas yang perlu diketahui oleh manusia. Pandangan alam antara satu tamadun dengan tamadun lain berbeza disebabkan faham masing-masing terhadap kebenaran mutlak. Perbezaan ini timbul disebabkan pemahaman yang berbeza-beza tentang tuhan, manusia, ilmu dan sebagainya. Perbezaan ini berlaku di peringkat asas lagi. Perbezaan fahaman ini telah mewujudkan pandangan yang mengelirukan. Ada golongan yang keliru bermula dari peringkat asas lagi. Kekeliruan yang muncul ini menyebabkan mereka menyangka bahawa anjakan paradigma itu adalah satu kemestian. Natijahnya, mereka cuba menyusun semula pandangan itu dengan andaian bahawa selepas menyusunnya, pandangan mereka akan kembali benar. Mereka menyusun ibarat mereka sedang menyusun puzzle. Mereka menyangka bahawa apa yang mereka susun itu benar belaka padahal kesilapan memasukkan sesuatu petak di tempat yang salah boleh merosakkan keseluruhan gambaran puzzle yang mereka kehendaki. Hal ini samalah seperti pandangan alam. Kesilapan mereka membuat perubahan walaupun perubahan itu kecil boleh merosakkan keseluruhan gambaran pandangan alam. Kita tidak boleh bercakap tentang sains politik sekiranya kita tidak memahami pandangan alam yang sebenar. Satu masa dahulu modernis Mesir menyerang sejarah lampau orang Islam. Mereka berusaha mempengaruhi pemikiran umat Islam masa kini dan beranggapan bahawa sejarah umat Islam satu masa dahulu tidak relevan dengan masa kini. Jika kita terikut-ikut dengan rentak golongan modernis ini yakni menyerang sejarah lampau Islam bermakna kita termasuk dalam golongan yang memusnahkan pokok yang telah kita semai dan tanam. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menebang atau mencabut akar pokok itu sehingga menyebabkan tamadun yang kita bina akhirnya runtuh. Menurut modernis, sejarah lampau yang merujuk kepada akar pokok itu perlu ditebang. Akar sejarah itu perlu diapungkan dan dibiarkan berjalan dengan sendirinya. Mereka cuba untuk melepaskan ikatan dari sejarah lampau umat Islam. Mereka beranggapan bahawa mereka boleh menjadi maju dengan melepaskan diri dari sejarah lampau. Tidak ada perkataan maju dalam Islam. Perkataan maju itu dipinjam dari Barat. Barat tidak memahami Islam seperti orang Islam memahami Islam. Barat tidak memahami Nabi Muhammad saw seperti orang Islam memahami Nabi Muhammad saw. Barat menyangka bahawa Nabi Muhammad saw itu sama seperti manusia lain. Itu tidak benar. Nabi saw adalah sebaik-baik makhluk yang dijadikan Allah Ta’ala dan Nabi saw menerima wahyu. Al-Quran menyuruh kita berfikir. Soalnya adakah kita berfikir? Al-Quran berbicara tentang gunung. Dalam satu ayat al-Quran, ada disebut betapa al-Quran jika diletakkan di atas gunung maka gunung akan bergoncang dan akan hancur. Soalnya kenapa gunung? Gunung dianggap sesuatu yang suci oleh kebanyakan tamadun besar dunia. Ada tamadun yang menganggap gunung sebagai tuhan dan sebagainya. Orang Melayu juga tidak terlepas dalam hal ini. Orang Melayu juga mempunyai kepercayaan tersendiri terhadap gunung. Ada gunung yang dianggap istimewa bagi orang Melayu misalnya Mahameru dan Bukit Siguntang. Dalam bahasa Arab, gunung dianggap sesuatu yang berkuasa. Jadi, apabila al-Quran diturunkan kepada manusia bermakna manusia itu lebih berkuasa dari gunung. Kita tidak menerima al-Quran dan Rasul begitu sahaja sebaliknya kita perlu berfikir. Betapa Rasulullah saw itu insan yang benar-benar hebat kerana menyampaikan isi al-Quran itu kepada manusia.


Nabi Muhammad saw adalah Qudwatun Hasanah dan Rahmatan Lil Alamin. Rahmat di sini bukanlah bermaksud belas kasihan tetapi memberi cahaya kepada seluruh umat manusia. Nabi saw berkata, aku dijadikan sebelum Adam dicipta dari tanah liat. Dalam satu hadith lain, Nabi saw bersabda, aku dijadikan dari cahaya. Rasul-rasul terdahulu telah diperintah untuk memberitahu kedatangan Nabi saw. Sebelum diangkat menjadi Rasul, mereka perlu berikrar dihadapan Allah Ta’ala dengan meyakini bahawa Nabi Muhammad saw adalah Pesuruh Allah dan penutup bagi segala Rasul. Ada sesuatu yang tidak kena dengan umat Islam pada masa ini. Adakah ia berkaitan dengan sistem pendidikan yang pincang? Umat Islam pada masa ini menyangka bahawa Islam itu hanya pada solat lima 5 waktu dan mengucap dua kalimah syahadah. Barat dan kepercayaan lain juga meyakini adanya Tuhan. Tetapi adakah kepercayaan mereka sama dengan kepercayaan umat Islam? Ada orang Islam yang keliru tentang kepercayaan kepada Tuhan. Secara lahiriah, semua orang percaya adanya Tuhan. Ketika di alam roh, semua manusia telah membuat perjanjian di hadapan Allah Ta’ala dan mengakui kebenaran bahawa Tuhan mereka adalah Allah Ta’ala. Maka atas sebab itu, sebaik sahaja lahir, keyakinan terhadap Tuhan akan muncul tetapi kepercayaan terhadap Tuhan mengikut kepercayaan umat Islam adalah berbeza dengan kepercayaan orang-orang kafir. Iblis juga percaya adanya Tuhan tetapi dia angkuh. Ketahuilah bahawa agama selain Islam adalah tidak sama. Semua manusia percaya adanya Tuhan tetapi agama-agama lain selain agama Islam tidak dipandu dengan wahyu maka kepercayaan terhadap Tuhan itu berbeza-beza. Aristotle juga percaya pada Tuhan tetapi ia hanya percaya pada peringkat intelektual sahaja. Aristotle tidak meletakkan praktikal sebaliknya hanya menggunakan spekulasi untuk mempercayai adanya Tuhan. Pemikiran seperti ini perlu dijelaskan bukan hanya di peringkat sekolah tetapi di peringkat tinggi. Inilah matlamat utama ISTAC ditubuhkan. Pemikiran-pemikiran yang mencabar perlu ditangani dengan serius. Apabila kita berbicara tentang al-Quran, kita sebenarnya berbicara tentang isi kandungannya iaitu bagaimana kita menghayati isi kandungan al-Quran. Al-Quran diturunkan dengan menggunakan perkataan bahasa Arab yang baru. Ada perkataan di dalam al-Quran yang tidak ada dalam istilah bahasa Arab. Maka sebab itu, kita hendaklah mempelajari dan mendalami al-Quran dengan betul. Apabila kita tidak dapat memahami al-Quran dengan makna yang betul maka kita akan terkeliru. Ada pemimpin kita yang tidak faham atau keliru dengan makna liberal. Sebagai contoh, mereka beranggapan bahawa wanita bebas melakukan apa sahaja sedangkan ini tidak betul. Kebebasan ada hadnya. Sebagai pemimpin, mereka tidak boleh bercakap sesuka hati. Satu lagi contoh kesilapan pentafsiran makna dari kalangan pemimpin ialah apabila mereka mengatakan bahawa solat boleh dilakukan dengan membelakangkan kiblat. Itu tidak betul. Solat dalam keadaan sedemikian hanya boleh dilakukan jika berada dalam keadaan darurat.


Adab adalah satu perkara yang sangat penting khususnya dalam pendidikan. Ilmu tanpa adab adalah tidak berguna kepada si pencari ilmu. Kata Imam al-Ghazali, orang yang mencari ilmu tanpa adab ini ibarat orang buta yang membawa lilin masuk ke dalam gua. Maksudnya di sini ialah lilin yang dibawa oleh orang buta itu tidak memberi apa-apa manfaat kepadanya. Adab berkait-rapat dengan melakukan sesuatu perkara dengan betul di tempat yang betul. Untuk melakukan perkara yang betul, ilmu diperlukan. Keadilan tercapai apabila sesuatu perkara itu diletakkan di tempat yang betul. Orang-orang yang berkeahlian didalam sesuatu bidang perlu diletakkan di dalam bidangnya. Inilah yang dikatakan sebagai keadilan. Apabila telah diletakkan di tempat yang betul maka mereka perlu menjalankan tanggungjawab. Maka ini disebut sebagai amanah. Ramai orang keliru tentang perkara ini. Pemerintah keliru tentang perkara ini bahkan pihak agama dan universiti juga terkeliru dalam hal ini. Mereka tidak meletakkan orang yang betul d itempat yang betul. Justeru, pihak yang bertanggungjawab perlulah memikul tanggungjawab untuk meletakkan orang yang betul di tempat yang betul. Inilah amanah. Kebanyakan ulama yang ada pada hari ini adalah mukallim yang bertaqlid pada fuqaha. Ulama pada masa dahulu sangat tawadhuk. Mereka sentiasa berkata bahawa mereka ada membuat silap tetapi dalam kebanyakan masa yang dihabiskan, mereka sebenarnya jarang atau mungkin terlalu sedikit berbuat silap. Ini adalah kerana mereka faham tentang makna adab dan ilmu. Masalah utama yang melanda umat Islam pada masa ini ialah kejahilan terhadap ilmu. Kita harus sedar bahawa Internet itu bukannya ilmu. Sebab itu kita kena soal diri kita semula samada kita kah yang mengurus ilmu atau ilmu itu yang mengurus kita? Keadilan tercapai apabila kita tahu siapa yang benar dan kita menyebelahi pihak yang benar. Tidak ada konsep sekerat-sekerat yakni setengah benar dan setengah salah. Pengadilan didasarkan kepada kemutlakan yakni samada benar atau salah. Banyak perkara tidak didefinisikan dengan betul akhirnya ramai menjadi keliru. Kekeliruan akan menggejala melainkan kita semua kembali kepada wahyu yang merupakan asas kepada semua perkara. Seperti yang disebut tadi, ramai yang keliru tentang fungsi al-Quran dan Hadith. Al-Quran ditafsir dari satu sudut hanya untuk kepentingan satu pihak sahaja. Sebagai contoh, pengamal undang-undang mentafsir al-Quran dari sudut perundangan sahaja. Sedangkan isi kandungan mencakupi semua aspek kehidupan. Begitu juga dengan hadith. Ada golongan ulama yang mengambil hadith untuk keperluannya sahaja manakala hadith lain tidak diguna pakai. Hadith-hadith yang hendak digunakan dibukukan manakala hadith-hadith yang tidak digunapakai diabaikan. Maka atas sebab itu, banyak hadith tidak sampai kepada kita dan akhirnya kita sendiri meragui akan kesahihan hadith itu. Sebagai contoh, hadith yang berbunyi seperti berikut, Dunia adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang yang tidak beriman. Ada orang yang tidak percaya ini adalah hadith. Mereka menyaring hadith mengikut kepentingan mereka sendiri. Golongan ekonomi misalnya melihat hadith ini sebagai sesuatu yang merugikan umat Islam kerana umat Islam menjadi mundur. Inilah yang berlaku pada Hamzah Fansuri. Banyak hadith yang disebut oleh Hamzah Fansuri dianggap bukan hadith pada masa ini. Ini adalah kerana ada golongan yang telah menolak hadith yang tidak sependapat dengan mereka lalu mengabaikan hadith-hadith tersebut.


Tentang soal sekularisasi, ia adalah masalah luaran yang dihadapi oleh umat Islam pada masa ini. Umat Islam tidak menentang kehidupan di dunia tetapi yang ditentang itu ialah ideologi yang menyatakan bahawa tidak ada dunia lain selain dari dunia yang ada pada masa ini. Ada orang menyatakan kita negara sekular. Itu tidak betul kerana subjek agama masih diajar di sekolah-sekolah. Berbalik kepada soal Nabi Muhammad saw, kita tidak boleh memanggil Nabi saw dengan panggilan namanya sahaja. Kita perlu tahu meletakkan kedudukan Nabi Muhammad saw sebagai makhluk Allah Ta’ala yang paling mulia. Para sahabat begitu memuliakan Nabi saw. Peluh baginda saw dijadikan minyak wangi manakala rambutnya yang dipotong ditadah oleh para sahabat lalu disimpan. Nabi Muhammad saw mengangkat darjat wanita. Nabi Muhammad saw berkata bahawa syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Umat Islam memuliakan Nabi saw tetapi tidaklah meletakkan kedudukan Nabi saw sebagai Tuhan seperti mana Kristian menjadikan Nabi Isa as sebagai tuhan mereka. TIdak ada manusia seumpama Nabi saw dalam mana-mana tamadun manusia baik dahulu, sekarang mahupun yang akan datang. Tokoh-tokoh lain seperti Buddha hanya tertumpu kepada soal moral tetapi Nabi saw memberi perhatian kepada seluruh kehidupan manusia. Kaum Kristian tidaklah sepenuhnya mengikut ajaran Nabi Isa as kerana jika mereka mengikut secara mutlak sudah pasti tidak ada generasi Kristian selepas Nabi Isa diangkat ke langit. Ini adalah kerana Nabi Isa as tidak berkahwin sepanjang hayat baginda sebelum baginda diangkat ke langit.





Sesi soal-jawab
Adakah ahli politik adalah orang yang paling tepat atau paling layak untuk memimpin umat Islam? :
Ahli politik penting dan memang ada keperluan untuk jadi pemimpin. Ini ada disebut dalam Aqaid an-Nasafi. Apapun ahli politik yang baik adalah ahli politik yang mempunyai akauntabiliti, bertanggungjawab dengan memegang amanah dan faham serta tahu dalam banyak perkara.


Penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam. Adakah ia dibolehkan? :
Dahulu pernah timbul isu ini di mana pihak gereja dari Pulau Pinang memohon untuk menggunakan kalimah Allah. Satu mesyuarat telah diadakan di ISTAC bagi menjawab permasalahan isu ini. Soalnya kenapa mereka mahu menggunakan kalimah Allah? Mereka menyatakan bahawa mereka ingin berdoa dalam bahasa Melayu dan mahu menggunakan kalimah Allah. Sebenarnya kita harus faham, kalimah Allah bukanlah terjemahan kepada God. Terjemahan God dalam bahasa Melayu ialah Tuhan. Jadi, jika mereka ingin berdoa dalam bahasa Melayu maka gunalah istilah Tuhan sahaja. Kita tidak boleh membenarkan golongan bukan Islam menggunakan nama Allah kerana mereka tidak faham makna Allah sebagaimana kita faham Allah. Seperti yang disebut tadi Allah bukanlah terjemahan dari God. Sebab itu dalam syahadah disebut, “tiada tuhan melainkan Allah” bukannya “tiada tuhan melainkan tuhan”. Sekali lagi dijelaskan bahawa kita tidak boleh membenarkan perkara ini terjadi.


Tentang Tariqah dan sufi :
Kebanyakan tariqah yang ada pada masa ini tersasar dari maksud tariqah yang sebenar. Ramai ahli sufi tidak faham tentang makna sufi. Ibnul Arabiy pernah berkata, Ramai orang menggunakan perkataan sufi sedangkan mereka langsung tidak tahu tentang makna perkataan itu. Saya (kata Prof Syed Muhammad Naquib) telah mengkaji 9 tariqah sufi di Tanah Melayu satu ketika dahulu dimana ketika itu mereka masih berpegang kepada amalan sufi yang sebenar iaitu mengajar manusia menjadi baik. Ini adalah asas tariqah. Sufi bukannya ilmu rahsia. Sebab itulah Durr al-Manzhum, kitab sufi yang terkenal satu masa dahulu telah diperintah oleh Sultan Melaka untuk diterjemah di Pasai supaya ianya dipelajari.


Transcendental Unity of Religion (Kesatuan Agama) :
Faham ini ada kaitan dengan cubaan politik yang hendak menguasai dunia. Jika pun sarjana Islam bersetuju pendapat dengan sarjana bukan Islam itu tidak bermakna kesatuan agama itu boleh dilakukan. Jika perkara ini berlaku di sini, maka ianya perlu diawasi kerana ianya pasti berkaitan dengan agenda politik yang ingin menguasai pemerintahan. Cubalah kita andaikan, adakah kemungkinan penganut agama lain mahu bersolat jemaah bersama-sama umat Islam di dalam masjid. Jadi bagaimana boleh dikatakan bahawa agama-agama itu boleh disatukan?


Sifat 20 Allah. Adakah diambil dari Greek? :
(Kata Prof Syed Muhammad Naquib) Siapa kata? Orang Greek tidak menerima wahyu. Jika ada orang Greek menerima wahyu maka ia pastilah dari wahyu yang telah dibawa oleh Nabi-nabi dari Bani Israel. Sifat 20 bukan dari Greek atau sebagainya sebaliknya adalah dari al-Quran.


Tentang Islamisasi :
Islamization tidak boleh disebut sebagai Islamicization. Prof mengaitkannya dengan istilah metaphysics of Islam yang tidak boleh disebut sebagai Islamic metaphysics. Islamic bermakna kita memasukkan elemen Islam. Ini bukanlah maksud sebenar yang hendak disampaikan. Keadaan ini samalah seperti religion of Islam bukannya Islamic religion. Sebab itu Islam bukannya terletak pada elemen atau benda dan sebagainya seperti islamic bicycle dan sebagainya. Kita kena perlu faham betul-betul makna Islam.


Tulisan (Isi Kandungan buku) Prof yang susah hendak difahami :
Saya (kata Prof) menulis dengan meneliti terlebih dahulu setiap perkataan yang betul sebelum ia dimasukkan. Maka si pembaca perlu mengikut setiap patah perkataan yang saya tulis dan cari maknanya. Buku yang saya tulis bukan buku cerita dan isi kandungannya memerlukan tafakkur. Ada professor yang membacanya berpuluh kali tetapi masih tidak faham. Ada orang mengatakan bahawa tulisan saya yang berkaitan dengan metafizik susah hendak difahami tetapi buku saya yang bukan berkaitan dengan metafizik pun mereka tidak juga faham. Sebagai contoh, buku Trengganu Inscription masih ramai yang belum faham tentang isi kandungannya padahal ia bukannya berkaitan metafizik. Inilah yang berlaku apabila manusia lebih percaya kepada mesin bukannya daya intelek. Sebab itu daya pemikiran manusia menjadi terbatas.





Disember 14, 2009

Rangkaian Ruba'iyat Al-Attas



Rangkaian Ruba'iyat


oleh




Di terbitkan oleh:
Dewan Bahasa dan Pustaka
Kementerian Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu
Kuala Lumpur
1959

____________________________________________________________________



Kepada Para Penyair:
Bangunlah! kalam, kau kuda Pahlawan
Galakkan debu tempuran seni Bahasa;
Tempikkan suaramu dilapangan Puisi
Dan petik lagammu dari taman Fantasi


____________________________________________________________________



I
Ada hakikat difahami dengan samadi,
Ada Hakikat pada akal tak kan mengabdi;
Samudera suram dan luas tak tampak dasarnya
Tapi mudah mata menembus air dikendi.



II
Perkataan dan perbuatan jalanan zahir,
Jalanan batin melintasi langit mendesir;
Jasad menempuh jalanannya yang penuh debu
Ruh berjalan, seperti Isa, diatas air.



III
Hai Ruh!dari dangkal debu pabila merdeka,
Sumpama sukma bebas kau lelangit menghala;
Singgasanamu diangkasa bersama Dewa,
Tak malu kaulama dalam lempung terpenjara!



IV
Sungguh ajaib!wajah chantik tiada bandingnya,
Didalam kalbu chermin ini merajalela;
Anehnya bukan wajah ituanehnya ialah
Kerna chermin ini pun sekaligus wajahnya.



V
Semua chermin dalam alam ini kusangka,
Membayangkan kechantikanmu laksana surya,
Tidak! dalamnya semua meliput sinarmu
Kulihat kau sendiri, bukan bayangmu, nyata.



VI
Apa untungnya pipi merah laksana bunga
Rupa jelita, rambut memahkotakan muka?
Pabila kechantikan murni meliput alam,
Guna apa kau memeluk kechantikan fana?



VII
Minumlah banyak-banyak anggur asmara dunia,
Gar dapat bibirmu nan lebih suchi merasa;
Tapi ingat! janganlah dunia mabukkan ruhmu
Lintasi jambatan ini, dengan chepat, mara.



VIII
Churahkan pada bibirku anggur purbakala
Berilah! agar dapat alam baru kuchipta,
Lupakanlah bagiku dunia yang mengabaikan,
Agar dapat kunyanyikan pujian tuk kau saja.



IX
Si prajurit menchari shahid di Jihad, runtuh,
Si ashik dilapangan Ishik tewas terbunuh;
Tetapi derajat shahidnya terlebih tinggi :
Dia ditikam kawan, bukan dileburkan musuh.



X
Dalam segala nyanyianku kaulah kupuja,
Dalam segala chiptaanku kaulah terchipta,
Tetapi mreka hanya tersenyum mendengarnya, dan,
Melihat sekali, lalu menggeleng kepala.



XI
Walau pun Izrail mengakhiri pujianku,
Tetap bergelora api cinta dalam kalbu;
Choba bongkar nanti tempat debuku terkubur-
Pasti kapan berasap, terbakar api rindu!



XII
Ah! berderita hatiku ndak berkata-kata,
Chintaku tak berbatas, hasrat menyala-nyala,
Tapi bisu mulut yang telah merasa chinta
Sia-sia hati berkobar ndak menchari suara!



XIII
Sgala rupa dalam keadaan menjelma,
Hanya ada sesaat, lalu lenyap binasa;
Demikianlah artinya kalimat mendalam:
Bentuknya berubah-ubah pada tiap masa.



XIV
Masa bukanlah seumpama air mengalir,
Tapi sumpama titik khayal nantiasa mungkir;
Yang Lampau, yang Hadir, dan yang Kemudian kelak
Semuanya didalam sesaat abadi Hadir.



XV
Dari setitik seribu lingkaran menjelma,
Dari angka satu berasal semua angka,
Inilah asasnya keadaan Makhluk jelata :
Dari alam yang ghaib timbul alam yang nyata.



XVI
Aku telah ada pada masa sgala Nama
Dan keadaanku yang berNama belum terchipta,
OlehKu Nama dan yang berNama dinyatakan
Pada masa sebelum Aku dan Kita.



XVII
Tanyaku : 'Siapakah empunya kechantikanmu?'
Jawabnya : 'Segala nan wujud kepunyaanku!
Ashik, Mashuk, dan Ishik ialah kesatuanku;
Juita, chermin, dan mata yang melihat pun aku.'



XVIII
Terlontar dilautan yang jauh pantainya, sesat,
Rakit Insan diumbang-ambingkan taufan Kodrat,
Tapi Kadar merampas kemudi, dan menetap,
Mengikuti peta yang kalam telah menchatat.



XIX
Terimalah, hai Tuhanku, hambaMu derhaka,
Ruhku surambiarlah chahyaMu jadi pelita,
Kalau shurga hanya upah tuk amal baikku
Kemana kemurahanMudan rahmatMu mana?



XX
WujudNya ghaib dalam nadi Makhluk jelata,
Sumpama raksa mengalir menyangkal upaya,
Membina sgala bentuk dari 'alif' hingga 'nya'
Tapi semua ubah binasa, melainkan Dia.



XXI
Waktu remaja, selalu kusinggah mendengar
Alim Ulama sebok berdebat dan bertengkar,
Tentang Ini dan Itutapi selalu saja
Dari pintu kumasuk juga aku keluar.



XXII
Kepada langit berlipat-ganda kuberseru,
Menanya : 'Ngan pelita apa Kodrat memandu
Anak-anaknya yang sesat dalam kegelapan?'
Maka Langit menjawab : 'Ngan fahaman yang buntu!'



XXIII
Kenapa tiada taufan mengamuk dilautanmu?
Jiwamu terbelenggukemanakah imanmu?
Sia-sia kau melaung menuduh tindasan Takdir
Kenapa tidak kau menjadi Kodrat Tuhanmu?



XXIV
Hai Pengembara!marilah berlena di Lembah
Aman abadi, dimana sgala serba indah
Hingga melati yang kau petik dan chium, akan
Berbisik padamu : 'Aku ini chermin Allah!'



XXV
Iram memang telah lenyap ngan sgala mawarnya,
Piala Jamshid bergelang tujuh entah kemana;
Tapi anggur masih ngalirkan mirahnya purba,
Ditepi air masih semerbak taman bunga.



XXVI
Kalau hatimu tak tertipu oleh yang khayal,
Jangan kau takabur kerna kecherdasan akal;
Matamu terbebas dari kekhilafan itu
Oleh kerna haus ditekakmu tidak kekal.


____________________________________________________________________


Disember 11, 2009

Gagasan Agung


GAGASAN AGUNG
oleh Prof Wan Mohd Nor Wan Daud






Setiap bangsa yang merangka gagasan agung
Berazam memahat nama dalam sejarah tamadun terulung
Akan membina universiti dan pusat pengajian tinggi
Dan menyebarkan fahamnya tentang kewujudan ini
Tentang makna kemanusiaan dan kebahagiaannya.
Tentang maksud kemajuan dan nilai-ukurnya:
Dengan segala hujjah yang tidak tersangkal
Oleh mereka yang berakal;
Dengan segala bukti
yang tidak tertolak para pengkaji;
Dengan segala berita
yang tidak terdusta.



Bangsa yang tidak bermimpi menjadi maju
Tapi sedar insaf matlamat kudus yang dituju
Akan melahir lapisan demi lapisan pemimpin
Dalam pelbagai bidang, sebanyak mungkin.



Gagasan tinggi dipacak kukuh di universiti
Dan institusi lain dalam negeri secara serasi, bertali
Agar matlamat suci menotai Perjanjian Azali
Tidak tinggal sebagai mimpi.



Mimpi menjadi maju sifat bangsa yang tidur lena
Enggan bangun dan menjulang martabatnya.



II

Negara maju sebenarnya kawanku bukan diukur:
Pada betapa panjangnya umur
Pada berapa keping ijazah dirangkul
Pada banyak pendapatan terkumpul.



Negara juga dianggap maju bukan:-
Pada bangunan gagah tinggi menombak awan
Pada lebuhraya raksasa menggelepar menikam gunung
Pada panggung, gelanggang hiburan, permainan agung.
Negara maju, baldah tayyibah tujuan orang beriman
Dipacak pada budi pekerti rakyat pelbagai lapisan
Tapi, bagaimana rakyat bisa berbudi tinggi
Jika pemimpin dalam kabinet dan keluarga, rendah pekerti?
Siapa yang mendidik, mengadab pemimpin bangsa
Jika tidak institusi pengajian tinggi mahkota pendidikan kita?



Universiti taman adabi medan penta’diban tertinggi insan
Jika dinodai, ucaplah selamat tinggal pada kemanusiaan
Dan selamat datang pada kehaiwanan
Yang paling cekap dan berkesan
Dalam sejarah makhluk Tuhan:-
Yang terbang lebih tinggi dari helang dan garuda
Menyelam lebih pantas dan dalam dari paus dan barakuda
Meracun lebih bisa dari kala jengking dan ular
Insan-haiwani latihan IPT mengatasi segala yang liar.



III

Di negara-negara mencengkam dunia berabad lama
Universiti puncak pemikiran tamadun mereka
Yang menyuluh pelbagai kefahaman zaman lalu
Yang membenihkan pelbagai pengetahuan zaman baru.



Pemimpin besar bangsa perkasa melihat jauh di ufuk sejarah
Mengukuhkan universiti tinggi, melahir pemikir penentu arah
Yang bebas menyampai kata, diiktiraf pelbagai anugerah
Lalu dunia memeluk mereka, jadi ukuran meningkat maruah.



Naib canselor dan dekan dipilih dari bangsa helang ilmi
Bukan dari bangsa pengurus, mulut terkunci depan menteri
Oxford, Leiden, Tokyo, Harvard, Sorbonne menjadi taman adabi
Walau mengkaji angkasa raya, sejarah sendiri diteliti ke akar umbi.



Walau kita berabad merdeka
Kepakaran agama dan sejarah kita digenggami mereka
Lampu dari Kaherah dan Madinah telah kehabisan zaitunnya
Pelita di Kuala Lumpur, menangin aku mengenang nasibnya.
Universiti umat di mana saja, kini dipenuhi semut mencari gula
Gedung ilmu menjadi tebu; gula, manisan merata.



IV

Gong dan gendang dipalu rentak ”ilmu harus diislamkan”
Bolehkan si buta mengajar melihat, si tempang lurus berjalan?
Mereka anggap ilmu seperti gula: menarik semut dan kerengga
Dan berfikir Islam seperti siyasah dan kegiatan iktisad
Lalu isi dan amal agama menjejaki dunia korporat.



Ilmu sebenar anugerah Tuhan pada diri ikhlas-berani
Ikhlas mengakui kejahilan diri, berani berguru kepada ahli
Ahli bukan yang mudah menuruti kehendak muridnya
Atau yang tunduk pada juhala memanas kerusi penguasa.



Sepanjang sejarah anbiya dan hukama semua bangsa
Guru murshid tegap berdiri, berani berkata, sederhana.
Murshid memimpin murid dan institusinya, seperti helang
Bukan memaksa terbang di paras rendah seperti puyuh, belalang.



Seorang Ibrahim disebut Allah sebagai Umat
Murshid pewaris Nabi memang wajar jadi penyelamat.



Pemalu rentak Islamisasi ilmu seperti penjual jamu
Yang tidak tahu bahan-bahan dan asal usul yang diramu
Yang tidak mencuba dengan sempurna jamu jajaan
Minatnya memalu gong dan menjaja jamu di pasaran
Di rumah, jamu diatur merata sebagai perhiasan
Anak-isteri terkeliru antara jamu dan jamu-jamuan!



Seorang pentadbir, salah seorang penjual jamu
Menganggap diri begitu pandai dan berilmu
Mengarahkan semua pensyarah membatal kuliah
Demi mera’i sang menteri yang memberinya anugerah
Mengarah menebang meranti berpuluh tahun umur
Konon cintakan kebersihan, tidak suka daunnya gugur!
Membelanjakan jutaan ringgit membeli bunga-bunga palsu
Yang mudah dipindahkan ke sana ke mari bersama pasu.
Bangga mananam pokok-pokok besi harga berjuta
Agar tidak dihinggapi burung, tupai dan serangga.



Sayang, jamu ramuan Alim Mukhlis dicuri ilmuwan tiruan
Diingat gula, bangsa semut datang berjuta mencari habuan
Pengislaman ilmu bertunjang pada mengenali sifat Tuhan
Berakar pada peningkatan akali-roh-akhlak bertiga segi
Kerana manisnya bukan seperti gula
Untungnya bukan pada peningkatan harta
Mulianya bukan pada pengiktirafan penguasa,
dan puji-pujian golongan massa.



Justeru itu jamu asli pengislaman ilmu, alam dan insan
Kini dianggap racun yang bakal memundurkan
Lalu dijauhkan mereka yang bergelar cendekiawan
Dan yang mengaku beriman
Disokong boneka di puncak kekuasaaan.



V

Universiti menyebar ilmu pancaran agama dan tamadun
Mengukuh hikmat leluhur agung turun temurun
Bukan menginsankan insan tujuan sebenarnya
Itu sekadar pencapaian sekelumit paling sederhana
Tapi mengakhlakkan insan dengan akhlak Tuhannya
Itulah matlamat tertinggi, makam terpuji bagi manusia.



Wahai ketua universiti dan semua warga di dalamnya:
Bangun dan hilangkanlah arang di wajah bangsa.
Semua anak helang di sangkarmu, lepaslah terbang
Yang cerah mata dan terang hatinya, pasti pulang
Bersenjatakan hikmah pemikir terbilang
Dan keberanian dan kepintaran para hulubalang.


***

dipetik dari Buku Puisi Prof Wan Mohd Nor Wan Daud, Dalam Terang (2004)


November 21, 2009

Seminar Sehari Pandangan Alam Islam (Worldview Islam) dan Syarahan Perdana Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas





Tarikh: Ahad, 13 Disember, 2009
Masa: 8:15am - 11:15pm
Tempat:
Institut Integriti Malaysia, Jalan Duta


PENDAHULUAN

Dalam menghadapi kegentingan masalah masyarakat Islam dalam pelbagai bidang dewasa ini, satu usaha yang terencana dan teliti bagi merungkai masalah tersebut amat diperlukan. Oleh sebab itu, segala penyelesaian yang ingin dilakukan haruslah bermula dengan usaha memperbetulkan cara berfikir masyarakat Islam terutama yang berhubung dengan unsur-unsur penting yang membentuk alam pemikiran mereka. Bertitik tolak dari kesedaran tentang pentingnya usaha tersebut satu seminar sehari pengukuhan Pandangan Alam Islam akan dianjurkan oleh Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM) dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Institut Integriti Malaysia.



OBJEKTIF

1. Menekankan keutamaan Pandangan Alam Islam dalam kerangka berfikir masyarakat Islam.
2. Memantapkan kefahaman masyarakat, khasnya generasi muda, tentang Pandangan Alam Islam yang sebenar.
3. Menghuraikan unsur-unsur penting dalam Pandangan Alam Islam.



PENGANJUR

Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM)
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Dengan kerjasama,
Institut Integriti Malaysia (IIM)



PESERTA

Sasaran penyertaan sebanyak 200 orang (bagi Seminar) dan 500 orang (bagi Syarahan Perdana) daripada kalangan ahli akademik, ahli profesional, pelajar dan orang awam.


YURAN

Yuran Seminar dan Syarahan Perdana:
Organisasi : RM100 seorang (kumpulan 5 orang)
Individu : RM100
Pelajar : RM35

Yuran untuk Syarahan Perdana sahaja:
Individu : RM50
Pelajar : RM20


TENTATIF PROGRAM

9.00 – 10.30 pagi Perasmian oleh Tetamu Kehormat

Ucap Utama oleh Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, UKM
Pengukuhan Pandangan Alam Islam Di Kalangan Masyarakat Islam Kini: Cabaran dan Harapan



11.00 – 1.00 ptg
Sidang Pertama
Pembentang:

Dr. Mohd Zaidi Ismail, IKIM
Faham Ilmu Dalam Islam: Satu Pengenalan Ringkas

Dr. Mohd Farid Mohd Shahran, UIAM
Makna dan Matlamat Agama dalam Islam


2.00 – 3.30 ptg
Sidang Kedua
Pembentang:

Dr. Mohd Sani Badron, IKIM
Adab dan Ta’dib sebagai Asas Pendidikan Islam

Dr. Adi Setia Mohd Dom, UIAM
Islam dan Falsafah Sains



3.45 - 5.30 ptg
Sidang Tiga
Pembentang:

Dr. Khalif Muammar, UKM
Pandangan Islam terhadap Tradisi dan Kemodenan

Dr. Wan Azhar Wan Ahmad, IKIM
Islam dan Cabaran Sekularisasi dan Pembaratan


5.30 - 8.30 Rehat



9.00 – 11.00 mlm
Syarahan Perdana (Dalam Bahasa Inggeris/In English)
Professor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas
Reviving The Worldview of Islam: Internal and External Challenges




**Komentar: Ini kali pertama setelah 6 tahun hiatus, Prof. Al-Attas tampil untuk syarahan di ruangan awam.


UNTUK PENDAFTARAN DAN PERTANYAAN:
ABDUL MUNTAQIM (019-8285019)
SEKRETARIAT SEMINAR (03-61842286)



Sekitar Rakaman Al-Kuliyyah : Antara Adab dan Biadab







Malam tadi (19 November 2009), saya mengikuti sesi rakaman rancangan Al-Kuliyyah (TV3) di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Sesi kali ini agak menarik, dengan tajuk “1 Akidah” rancangan kali ini menampilkan Al-Fadhil Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Dr. Fauzi Deraman. Perbincangan yang bertajuk “1 Akidah” ternyata banyak berkisar sekitar persoalan tentang adab, tentang perbezaan pendapat. Itupun, tidak sepenuhnya perbincangan itu bersifat ilmiah. Apa yang pasti, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Dr. Fauzi Deraman mengecewakan. Sikap dan kata-kata mereka ternyata menggambarkan suatu kebiadaban; apa yang diistilahkan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady sebagai fenomena “kebiadaban intelektual”.


Perbezaan pendapat adalah suatu lumrah yang tidak mungkin boleh dielakkan. Justeru, menurut Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, dalam ajaran Islam telahpun disiapkan panduan dan pedoman untuk menangani perbezaan pendapat tersebut. Sepertimana yang telah difirmankan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala di dalam kitab suci Al-Qur’an, kita hendaklah mengikuti jalan orang-orang yang beriman (sabiilil-mu’minin); yakni, kita hendaklah patuh kepada ijma’ ‘ulama – kesepakatan majoriti ‘ulama. Beliau menghuraikan, ini maksudnya kita hendaklah taat kepada ajaran Islam arus perdana. Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady memetik di dalam kitab Fathul Bari yang menyatakan bahawa imam-imam yang muktabar di dalam Ahli Sunnah wal Jamaah adalah perlu ditaati sama ada dari segi aqidah, syariat mahupun akhlak. Jika adapun perbezaan pendapat, maka hal itu haruslah ditangani secara cermat dan dengan penuh adab.


Apa yang disampaikan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady tersebut ternyata merupakan satu panduan yang penting kerana apa yang sedang berlaku di dalam negara ini pada hari ini adalah sikap segelintir “kaum muda” (Salafi, Wahabi, gerakan Tajdid, atau apa sahaja namanya) yang cuba melawan ‘arus perdana’. Amalan dan pegangan umat Islam di negara ini, yang merupakan amalan dan pegangan arus perdana yang telah disusun hasil kesepakatan para ‘ulama, cuba dicabar tanpa kita memahami apakah maksud sebenar di sebaliknya. Kelihatannya, hanyalah kerana mereka itu inginkan publisiti dan ingin menjadi jaguh yang dikenali di dalam masyarakat. Apakah ada keperluan amalan membaca doa qunut yang telah lama diamalkan oleh masyarakat negara ini dilawan? Apakah ada keperluan amalan membuat majlis tahlil arwah diharamkan? Apakah ada keperluan Selawat Syifa’ yang sangat masyhur di kalangan masyarakat negara ini dikatakan amalan yang salah? Itu semua adalah amalan yang datangnya melalui ajaran arus perdana di negara ini, yang semuanya ada dalil dan nas yang menyebabkan para ‘ulama mengajar amalan-amalan tersebut.


Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (MAZA) kemudian menyebut tentang sikap majoriti para imam mazhab, yang menyuruh agar ditinggalkan pendapatnya apabila ada dalil yang sahih yang bercanggah dengan pendapatnya. Hal itu, menurutnya, menjadi bukti betapa para imam menghormati dalil dan nas. Dr. MAZA juga menyebut bahawa adalah penting untuk menghormati pandangan para ‘ulama muktabar; apa yang diistilahkan di dalam usul fiqh sebagai ijma’ ‘ulama. Dr. MAZA juga menyentuh tentang masalah fanatik mazhab. Sehinggakan, katanya, hanya kerana berbeza pandangan seseorang itu boleh dihukum sesat, biadap dan sebagainya.


Hal ini telahpun disanggah dengan mudahnya oleh Al-Fadhil Ustaz Yusri Mohd. melalui soalan beliau kepada Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady. Kata-kata para imam mazhab bahawa “apabila bertemu dalil yang sahih hendaklah ditinggalkan pendapatku” adalah kata-kata khusus yang ditujukan kepada para ‘ulama jua, dan bukannya kepada orang awam seperti kita semua. Kata-kata tersebut ditujukan khusus kepada para ‘ulama yang berkapasiti untuk membuat ijtihad. Mana mungkin masyarakat awam, ataupun sesiapa sahaja yang mempelajari ilmu agama tetapi tidak sampai ke tahap mujtahid, untuk membuat ijtihad sendiri apabila bertemu sahaja hadith sahih (atau yang dikatakan sahih) di dalam kitab-kitab mahupun buku-buku. Apakah ada jaminan interpretasi mereka terhadap maksud hadith itu betul? Apakah mereka faham benar konteks kegunaan hadith tersebut? Harus diingat bahawa hadith itu datangnya dengan konteks yang tertentu. Kerana itu kita banyak bertemu hadith-hadith yang kelihatannya seperti bercanggah antara satu sama lain, tetapi sebenarnya tidak kerana konteksnya berbeza. Cukup menghairankan apabila Dr. MAZA menekankan tentang perlunya kita patuh kepada ijma’ ‘ulama, tetapi dia sendiri menentang aliran arus perdana (yang merupakan hasil ijma’ ‘ulama) di negara ini; seperti contoh, dia mempertikaikan dan memperlekeh majlis maulid, memperlekeh al-Fadhil Syeikh Jaafar al-Barzanji (bacaan Maulid Barzanji – disebut ‘berzanji’ oleh orang Melayu – telah lama diamalkan di negara ini), dan sebagainya yang mana semuanya adalah perkara-perkara yang dipersetujui oleh para ‘ulama. Jika adapun pandangan berbeza, maka itu adalah perbezaan pendapat yang tidak wajar dan tidak patut dijadikan polemik di dalam masyarakat! Hormatilah apa yang telah disusun oleh para ‘ulama terdahulu untuk kesejahteraan umat Islam di negara ini!


Pensyarah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM), Dr. Fauzi Deraman kemudiannya menyatakan bahawa semua orang, termasuk para ‘ulama, adalah tertakluk kepada ayat Al-Qur’an yang menyatakan bahawa kita semua tidak dikurniakan pengetahuan melainkan sedikit. Justeru, Al-Qur’an juga mengajarkan kita agar “bertanyalah kepada ahlinya jika kamu tidak mengetahui”. Menurutnya, setiap orang ada bidang kepakaran masing-masing dan bidang tersebut harus dihormati. Tentang fenomena masa kini di mana semakin ramai orang awam yang turut melibatkan diri dalam perbincangan terbuka tentang hal-hal agama yang sebenarnya bukan bidang mereka, Dr. Fauzi Deraman menyatakan bahawa orang awam tidaklah wajar disalahkan sepenuhnya kerana orang awam mengikuti ‘mentor’ mereka. Maka, apa yang penting adalah orang awam harus dididik dan diberikan panduan yang betul. Apa yang dikatakan oleh Dr. Fauzi Deraman ternyata benar. Namun, apa yang berlaku pada hari ini adalah orang sudah tidak menghormati autoriti. Dalam hal agama sebagai contoh, semakin ramai orang sudah tidak lagi menghormati autoriti kerana terpengaruh dengan sikap segelintir orang muda yang kononnya berilmu, mungkin kerana memilik Ph.D. lalu memakai gelaran ‘Doktor’ di hadapan namanya, yang dengan sewenang-wenangnya mempersoal dan mempertikaikan pendapat para ‘ulama sedangkan mereka bukanlah orang yang layak untuk melakukan hal yang sedemikian. Ada juga di kalangan para ilmuan sombong ini yang mengatakan diri mereka, ataupun mengatakan ‘ulama ikutan mereka, sebagai pakar hadith dan memakai gelar ‘Al-Muhaddith’ sedangkan antara syarat untuk seseorang itu digelar ‘Al-Muhaddith’ adalah ia haruslah menghafal 100,000 hadith! Itu belum termasuk syarat mempunyai dan menghafal sanad hadith. Sedangkan golongan ‘ulama sombong ini menolak amalan pemberian ijazah hadith; maka mana mungkin mereka menjadi pakar hadith!


Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady memberikan satu peringatan yang ringkas tetapi penuh makna; bahawa setiap urusan itu haruslah diserahkan kepada ahlinya. Peringatan daripada Allah Subhanahu wa ta’ala agar kita merujuk kepada ahlinya dan tidak memandai-mandai. Justeru, dalam soal memberikan pandangan, sepertimana yang dipraktikkan oleh para salafussoleh, hendaknya para ‘ulama itu berbincang di dalam wacana “para ‘ulama” untuk mendapatkan kesepakatan – dengan mengambil kira semua faktor – sebelum akhirnya keputusan itu disalurkan kepada orang ramai. Apa yang berlaku pada hari ini adalah kita terpengaruh dengan wacana ala pasca-modenisme, yang menganggap semua wacana adalah sama – atas nama ‘kebebasan bersuara’.

Penekanan yang diberikan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady ini, walaupun ringkas, tetapi adalah sangat fundamental. Apa yang disebutkan adalah tentang hal adab. Hal ini demikian kerana tidak semua orang mempunyai kelayakan untuk membincangkan semua perkara. Perkara-perkara yang berkaitan dengan pengajian ‘aqidah, berkaitan dengan fiqh dan akhlak, yang sudah tentu akan ditemukan banyak perbezaan pendapat tentangnya, adalah perkara-perkara yang tidak wajar, tidak patut dan tidak perlu untuk dibincangkan di dalam wacana terbuka di tengah-tengah masyarakat yang rata-ratanya tidak berkeahlian dalam hal ilmu Islam. Justeru, di situlah peranan para ‘ulama untuk menyusun dan menyepakati apakah kaedah, pendekatan, amalan, dan sebagainya yang patut diketengahkan kepada masyarakat. Itulah yang dilakukan oleh para imam mazhab dan para mujtahidin. Mereka meneliti dalil dan menyusun amalan-amalan dalam agama agar mudah diikuti oleh orang awam; agar tidak perlu lagi orang awam melalui proses penelitian dalil kerana tidak semua orang berkapasiti untuk memahami dengan benar dalil Al-Qur’an dan Al-Hadith, apatah lagi untuk mencapai tahap mujtahid! Tindakan membawa wacana yang berkaitan dengan penentuan asas-asas serta amalan-amalan dalam agama ke tengah kancah masyarakat, hanyalah akan menyebabkan berlaku kecelaruan kerana masyarakat akan mula keliru, dan lebih teruk lagi sudah mula muncul di tengah-tengah masyarakat golongan muda (khususnya) yang dengan beraninya berwacana menggunakan nama-nama ‘ulama seperti Imam Syafie, Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani dan sebagainya, sedangkan mereka hanyalah ‘berguru’ dengan Internet ataupun dengan membaca sendiri buku-buku para ‘ulama tersebut. Jika adapun guru tempat merujuk, hanyalah seorang atau dua orang guru-guru yang tidak mempunyai susur galur ilmu yang mantap. Hal ini berlaku kerana melihatkan wacana-wacana yang semakin banyak dibincangkan secara terbuka, sehingga mereka merasakan bahawa sesiapa sahaja layak untuk membincangkan persoalan agama.


Bagaimanapun, Dr. MAZA seolah-olah gagal memahami apa yang cuba disampaikan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady. Dia memetik hadith yang menyatakan bahawa Allah akan membangkitkan seorang ‘mujaddid’ (pembaharu urusan agama) pada setiap 100 tahun. Dia menyentuh tentang bagaimana urusan membaharui urusan agama ini telah dilakukan oleh semua mujaddid, biarpun ditentang hebat. Dia menyebut cabaran-cabaran yang dihadapi oleh Imam Ahmad, Imam Syafie dan sebagainya dalam menyatakan kebenaran. Saya tertanya-tanya, apakah dia mahu menyamakan dirinya dengan Imam Ahmad dan Imam Syafie? Dia menyebut contoh-contoh itu sebagai menyatakan bahawa dirinya juga perlu melakukan ‘tajdid’ (membaharui urusan agama) biarpun sukar diterima. Namun, sekali lagi, perlu diperhatikan siapakah Imam Ahmad dan siapakah Imam Syafie? Mereka adalah ornag yang diberikan pembukaan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala, sehingga mempunyai keluasan ilmu yang hebat. Sekiranya salah seorang daripada mereka masih hidup pada hari ini, maka tidaklah keterlaluan jika dikatakan adalah wajib bagi seluruh umat Islam di dunia ini mematuhinya sebagai rujukan utama masa kini! Siapalah Dr. MAZA jika hendak dibandingkan dengan Imam Syafie, Imam Ahmad? Juga, harus diperhatikan apakah yang diperjuangkan oleh imam-imam besar itu sama seperti apa yang diperjuangkan oleh Dr. MAZA? Imam Syafie dan Imam Ahmad berjuang untuk membetulkan ‘aqidah umat Islam (diulangi: ‘aqidah), kerana tanpa ‘aqidah yang betul boleh jatuh kufur seseorang itu. Sedangkan di negara ini kita sudah mempunyai suatu susunan amalan dan pegangan yang betul, tidak perlu lagi dipertikaikan!


Dr. MAZA kemudiannya menyatakan, sebagai membantah pandangan Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, bahawa sekiranya dia perlu berbincang dahulu sebelum menyampaikan pandangannya, maka tidak akan berlakulah “sampaikan daripadaku walaupun sepotong ayat”. Saya dan rakan-rakan di pentas penonton hanya mampu menepuk dahi dek kerana lemahnya hujah yang digunakan oleh dia. Hadith tersebut bukan untuk hal tajdid! Jika hadith tersebut adalah berkaitan dengan hal tajdid, maka mudah sangatlah proses tajdid itu dan tidak perlulah dibangkitkan seorang mujaddid kerana sesiapa sahaja boleh melakukannya! Juga, apa yang dimaksudkan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady agar diadakan perbincangan di peringkat para ‘ulama terlebih dahulu bukanlah maksudnya agar jangan dilakukan dakwah! Maksud beliau adalah supaya perkara-perkara khilaf, perkara-perkara yang berkaitan dengan dasar, dengan pendekatan dan sebagainya, dibincangkan secara ilmiah terlebih dahulu di kalangan para ‘ulama, agar para ‘ulama yang berkeahlian itu dapat memutuskan apakah dia yang paling sesuai untuk disalurkan kepada masyarakat. Hal ini demikian kerana masyarakat tidak berkeahlian untuk menentukan bagi diri mereka sendiri apakah yang patut atau tidak, apa yang benar atau tidak. Nah, bukankah di dalam wacana para ‘ulama itu masih ada peluang untuk ‘menyampaikan daripada Rasulullah walaupun sepotong ayat’. Keluarkanlah apa sahaja dalil dan nas yang diketahui di dalam wacana para ‘ulama kerana memang sifat wacana itu ilmiah. Mengapa harus dibawa kepada masyarakat? Adakah kerana ingin dikenali, ingin dilihat sebagai jaguh? Jika benar ingin manfaat dan faedah bagi masyarakat, bukankah pandangan dan usaha ijma’ ‘ulama itu lebih kukuh dan lebih baik daripada usaha beberapa kerat individu? Logik ini terlalu mudah, hanya mereka yang tertutup minda dan hatinya sahaja yang akan gagal memahaminya.


Dr. Fauzi Deraman pula menyatakan bahawa perselisihan (dalam hal dasar agama) tidak berlaku di zaman Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, kerana ada kaitannya dengan metodologi pada zaman itu. Saya mungkin boleh bersetuju dengan kenyataan itu kerana memang ada kebenarannya. Namun, sebab utama mengapa tidak berlakunya perselisihan pada zaman tersebut adalah semata-mata kerana baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam! Baginda adalah ikutan ulung para sahabat, baginda adalah contoh, baginda adalah rujukan utama! Para sahabat patuh dan taat kepada baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam tanpa soal: ini dinamakan taqlid! Benar, dalam Islam ada kebenaran untuk taqlid, bagi orang yang tidak mampu berijtihad seperti kita semua! Jika ada yang ingin menyanggah dengan mengatakan bahawa bertaqlid dengan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sahaja yang boleh, maka ketahuilah bahawa Rasulullah telah mengiktiraf generasi salafussoleh, para Khulafa’ Ar-Rasyidiin dan Ahlul Bait sebagai kelompok yang harus kita ikuti dan contohi.


Namun, saya ternyata tidak bersetuju dengan kenyataan Dr. Fauzi Deraman yang menyatakan bahawa para sahabat tidaklah belajar banyak sangat tentang ‘aqidah. Kenyataan itu ternyata adalah suatu kenyataan yang sangat biadap! Para sahabat adalah mereka yang paling ‘arif tentang ‘aqidah! Kenyataan dia seolah-olah menggambarkan bahawa umat Islam yang terkemudian lebih maju dalam hal pengajian ‘aqidah! Memang benar bahawa para sahabat tidaklah mempunyai sistem pengajian yang canggih (baca: berkecamuk) sepertimana apa yang kita ada pada hari ini. Tetapi harus difahami bahawa para sahabat adalah mereka yang paling mantap ‘aqidah mereka, dan menjadi rujukan kita semua sehingga ke hari ini! Para sahabat adalah contoh kita dalam hal ‘aqidah. Bukankah dalam pembelajaran ‘aqidah pada hari ini pun kita memetik contoh-contoh daripada kisah sahabat? Penyusunan sistem bagi kita mempelajari dan memahami ‘aqidah yang benar seperti yang dilakukan oleh Al-Imam Abu Hassan Al-Asy’ari adalah juga bersumberkan kepada para sahabat, yang sudah tentunya datangnya pula daripada Sayyiduna Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Jika dikatakan para sahabat tidak banyak belajar ‘aqidah, adalah tidak benar sama sekali kerana para sahabat berada bersama Rasulullah, dan mereka mempelajari keseluruhan isi kandungan kitab suci Al-Qur’an secara langsung daripada baginda Rasulullah! Mereka mempelajari ‘aqidah daripada dua sumber utamanya: Al-Qur’an dan Rasulullah! Mana mungkin mereka tidak banyak belajar ‘aqidah!


Justeru itulah Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady mengingatkan semua tentang niat. Menurut beliau, niat itu adalah penting kerana setiap amalan itu nilaiannya bergantung kepada niat. Niat yang tidak betul akan merosakkan amalan; sepertimana solat menjadi rosak, sedekah menjadi sia-sia jika niatnya adalah untuk membangga dan menonjolkan diri. Hal ini, menurut Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, adalah sesuatu perkara yang sangat asas dan sangat penting tetapi ramai orang terlupa, termasuk sesetengah orang yang berilmu. Dalam melakukan pembaikan, teguran dan sebagainya kita haruslah ikhlas kerana mencari redha Allah Subhanahu wa ta’ala. Justeru, apa yang penting adalah kita menghormati orang lain, kita menghormati ‘ulil amri’. Jika ingin melakukan teguran, hendaklah dilakukan dengan cara baik dan cara berhikmah, bukannya dengan cara terus memaparkan kritikan itu di dada akhbar sehingga boleh mengakibatkan malu dan keresahan. Inilah adab namanya! Hal ini demikian kerana, jika benar kita ikhlas ingin menegur dan membuat pembaharuan maka sudah tentu boleh sahaja teguran itu disalurkan terus kepada pihak berwajib – kepada para pemerintah, kepada para ‘ulama – tanpa perlu melalui media massa. Kerana yang diinginkan adalah menyampaikan teguran dengan cara baik, bukan mencari populariti!


Mungkin disebabkan terasa dengan teguran ‘pedas’ Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, Dr. MAZA naik suara sedikit. Dia menyatakan bahawa adalah tidak patut jika seseorang itu berbeza pendapat dengan orang lain, maka orang lain itu terus dituduh sebagai sesat, Wahabi dan sebagainya. Saya bersetuju dengan pandangan Dr. MAZA. Namun, ternyata di situ tersisip suatu keangkuhan dan cubaan untuk memutarbelitkan apa yang sebenarnya berlaku di negara ini. Harus difahami bahawa pertuduhan “sesat”, “Wahabi” dan sebagainya yang dilontarkan kepada individu-individu tertentu bukanlah dibuat secara semberono! Ya, mungkin sahaja ada di kalangan masyarakat awam di negara ini yang agak ‘emosional’ dan dengan mudahnya melabel orang dengan label yang pelbagai. Namun, di peringkat para ‘ulama dan intelektual, menghukum seseorang itu sebagai “sesat”, atau sebagai berfahaman “Wahabi” adalah sesuatu yang dibuat secara ilmiah. Apabila telah jelas dan telah zahir seseorang itu sesat, apakah mungkin kita mendiamkan diri dan tidak menyatakannya? Apakah hanya kerana semata-mata ingin meraikan ‘perbezaan pandangan’, maka kita tidak boleh menyatakan kesesatan seseorang itu apabila telah zahir kesesatannya? Jika begitu, tarikh balik sahaja pertuduhan kita terhadap Haji Kahar (Rasul Melayu). Fahaman dan aliran pemikiran yang “sesat” dan “Wahabi” itu telah lama dijelaskan dan dihadirkan dalil-dalil serta bukti bagi menyokong pertuduhan tersebut; hanya sahaja, mungkin segelintir pihak tidak mahu menerima hujah dan dalil-dalil yang dikemukakan.


Dr. Fauzi Deraman kemudiannya menekankan bahawa daripada segi sumber, tidak ada perselisihan kerana kita semua mengakui bahawa kita hanya ada dua sumber (dalam hal ‘aqidah, syariat mahupun akhlak) yakni Allah dan Rasul. Dr. Fauzi menyatakan bahawa kita tidak ada sumber-sumber yang lain selain daripada Allah dan Rasul. Hal tersebut sememangnya benar, bahawa tidak ada sumber yang lebih utama dalam agama selain daripada Allah dan Rasul. Namun, mungkin perlu dijelaskan lagi bahawa di dalam usul fiqh, melalui peruntukan di dalam nas-nas Al-Qur’an dan Al-Hadith, Ijma’ ‘Ulama juga diterima sebagai sumber – selepas Al-Qur’an dan Al-Hadith. Kegagalan mengiktiraf ijma’ ‘ulama sebagai sumber akan menyebabkan seseorang itu terjerumus ke dalam lembah kebiadaban ilmu. Memang benar sumber utama dalam Islam hanya dua, yakni Al-Qur’an dan Al-Hadith. Tetapi, siapakah yang akan menyampaikan kita kepada kefahaman yang benar tentang keduanya? Oleh sebab itulah, setelah Rasulullah berpesan para peringkat awalnya agar umat baginda berpegang kepada Al-Qur’an dan Al-Hadith, maka Rasulullah berpesan pula kepada kita menjelang penghujung kehidupan baginda di dunia ini supaya kita berpegang kepada sunnah Khulafa’ Ar-Rasyidiin dan sunnah Ahlul Bait. Hal ini demikian kerana mereka adalah kelompok yang paling ‘arif tentang Al-Qur’an dan sunnah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Oleh sebab itulah, setelah berlalunya zaman Rasulullah, para sahabat merujuk kepada orang yang paling hampir dengan Rasulullah dalam usaha untuk memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah. Para tabi’in merujuk kepada para sahabat dalam usaha untuk memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah. Para tabi’ tabi’in pula merujuk kepada para tabi’in dalam usaha yang sama. Dan begitulah seterusnya berlaku, sehingga kita pada hari ini merujuk kepada para ‘ulama, guru-guru kita, masyayikh kita yang mursyid dan murabbi, dalam usaha kita untuk memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah. Inilah dikatakan adab! Bukannya dengan cara menolak pandangan para ‘ulama tradisi dan kemudian menelaah sendiri Al-Qur’an dan Al-Hadith – kerana siapa kita untuk memahami Al-Qur’an dan Al-Hadith? Kita hidup dalam zaman yang penuh dengan dosa dan maksiat, mana mungkin Allah mengurniakan kepada kita ‘ilmu dan kefahaman yang sama sepertimana yang dikurniakan kepada generasi terdahulu – kerana kita tidak layak!


Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady kemudiannya merumuskan perbincangan pada sesi rakaman Al-Kuliyyah itu dengan menasihatkan semua agar kembali kepada kerangka Ahli Sunnah wal Jamaah – aliran arus perdana yang dijamin kebenarannya oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Baginda Rasulullah telah menjamin untuk kita bahawa kerangka kebenaran (al-Haq) itu akan sentiasa ada di dalam agama ini, justeru itulah dia aliran arus perdana yang dibawa dan didokong oleh para ‘ulama secara berantaian daripada dahulu sehingga kini. Oleh sebab itulah di sisi pada ‘ulama, salah satu tradisi penting yang perlu dikekalkan bagi memastikan keberkatan dan kesahihan ilmu adalah tradisi pengajian secara bersanad. Kita haruslah mempunyai rantaian ilmu dengan guru kita, guru kepada guru kita, guru kepada guru kepada guru kita, dan begitulah seterusnya sehingga sampai kepada Al-Mu’allim Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam.


Selesai sahaja sesi rakaman itu sesi soal jawab dibuka kepada penonton yang hadir. Ada beberapa soalan dilontarkan kepada ketiga-tiga panel. Pada sesi ini semakin terzahir kebiadaban beberapa orang ahli panel dan para penonton yang menyokong mereka. Dalam usaha untuk menjustifikasikan betapa perlunya usaha ‘tajdid’ yang sedang dia lakukan, dalam erti kata memecahkan pegangan kepada mazhab syafi’e dan menjadi ‘lebih terbuka’, Dr. MAZA mengambil beberapa contoh kelemahan pandangan di dalam mazhab syafi’e sambil menyatakan bagaimana sikap Imam Syafi’e sendiri serta sikap ‘ulama terdahulu yang begitu terbuka. Dr. MAZA memperli sikap ‘golongan agamawan’ serta ‘pihak berkuasa agama’, khususnya kerana sikap tertutup mereka dan kerana tindakan yang dikenakan ke atasnya oleh JAIS. Bukankah seharusnya sudah jelas, begitu ramai orang yang menentangnya bukanlah kerana dengki dan bukanlah kerana semata-mata tidak suka kepada perbezaan pandangan; tetapi, kerana aliran pemikiran yang dibawa oleh Dr. MAZA adalah berbahaya kepada kesejahteraan umat Islam di negara ini. Sikap Dr. MAZA yang memperlekeh ‘golongan agama’, mencabar ‘autoriti agama’ secara terbuka begitu, sambil disambut dengan tepukan tangan oleh sebilangan penonton, ternyata menampakkan keangkuhan dan ketiadaan adab. Apatah lagi apabila disambung pula oleh Dr. Fauzi Deraman yang mengikut rentak Dr. MAZA. Dr. Fauzi memperlekeh-lekeh pandangan dalam mazhab syafi’e (dalam kes ini berkaitan haji) yang katanya menyusahkan, sambil disambut dengan senyum dan gelak ketawa Dr. MAZA dan sebilangan para penonton. Kami hanya mampu terdiam melihat.


Namun, ternyata jika Allah ingin menzahirkan kebenaran maka tidak ada apa yang akan dapat menghalangnya. Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady menutup dengan suatu teguran yang langsung kepada para panelis dan penonton. Bergenang air mata tatkala Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady menyatakan kesayuan beliau melihat orang ramai bergelak-ketawa tatkala kisah para ‘ulama diceritakan dan pandangan mereka dilekeh-lekehkan. Begitu sayu beliau melihat orang ramai – termasuk para panelis – menganggap lekeh apa yang dibincangkan, sehingga boleh dijadikan bahan gelak ketawa. Ke mana perginya adab? Sungguh, persoalan adab ini adalah persoalan yang sangat penting. Ramai oleh boleh bercakap tentang adab, tetapi tidak semua orang benar-benar boleh menjadi orang yang beradab. Sekadar mengulangi pesanan Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, bahawa ikutilah dan taatlah kepada aliran arus perdana Ahli Sunnah wal Jamaah. Taatlah kepada imam-imam Ahli Sunnah wal Jamaah. Bersikaplah dengan sikap yang betul; bercakaplah dengan bahasa dan ayat yang betul. Di dalam Al-Qur’an, Allah Subhanahu wa ta’ala menyatakan bahawa sesiapa yang tidak beradab dengan Rasulullah – cukup sekadar meninggikan suara lebih tinggi daripada suara Rasulullah – maka akan terhapus segala pahala amalannya. Nah, para ‘ulama itu pewaris Rasulullah, mengapakah kita enggan beradab dengan mereka? Memang benar mereka bukan maksum, bukan sempurna, tetapi sedarlah bahawa kita semua jauh lagi tidak sempurna daripada mereka!


Semoga Allah mengurniakan Rahmat kepada seluruh para pejuang Ahli Sunnah wal Jamaah; dan semoga Allah membuka pintu hati golongan berilmu yang sombong, serta para pengikut aliran pemikiran mereka.


Mohon maaf atas salah dan silap. Sekadar luahan rasa hasil ilham daripada Allah dan berkat sentuhan guru kita Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki. Saya hanyalah seorang insan yang sangat hina yang sedang berusaha menggapai cinta-Nya, dan cinta Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam.


Wallahu’alam.

Ketidaksempurnaan Adab






Puyuh yang berjidal
mencuri paruh dan sayap helang.
Malangnya belum mengenal
bagaimana ia seharusnya terbang.


Berpura tak sudah
tidak mengenal asli diri
Bercermin, tidak pernah
pada wajah sendiri


Benar-palsu bergaulan
tanpa cuba memahami
keliru dalam keinginan
demi cita, yang belum murni.


Ibnu Abas



November 14, 2009

Our Empowering Position




“If we examine the trials and tribulations all over earth, we’ll find
they are rooted in human hearts. Covetousness, the desire to aggress
and exploit, the longing to pilfer natural resources, the inordinate
love of wealth, and other maladies are manifestations of diseases
found nowhere but in the heart. Every criminal, miser, abuser, scoffer,
embezzler, and hateful person does what he or she does because of a
diseased heart. So if you want to change our world, do not begin by
rectifying the outward. Instead, change the condition of the inward.
It is from the unseen world that the phenomenal world emerges, and it
is from the unseen realm of our hearts that all actions spring. … We
of the modern world are reluctant to ask ourselves—when we look at the
terrible things happening—“Why do they occur?” And if we ask that with
sincerity, the answer will come back in no uncertain terms: all of this
is from our own selves. In so many ways, we have brought this upon
ourselves. This is the only empowering position that we can take.”



excerpt introduction from