Mac 01, 2009

Muqaddimah


Dengan Nama Allah
Yang Mahapengasih, Mahapenyayang



Segala pujian bagi Allah nan mahaesa
Yang mahameliputi semesta semua
Yang liputanNya menyangkal bicara
Dan Yang bagiNya tiada suatu pun tara.
Mahasuci dan mahamurni
Tiada terketika mahu pun terisi,
Tiada tercurai sebarang peri
Tiada tercapai sebarang budi;
Tuhan sarwa alam berganda
Yang mengambang hebat di angkasa,
Terpamer indah terjelma nyata
Dan yang terbunyi sunyi dalam rahasia;
Yang empunya arash yang mahatinggi
Pemilik kuasa yang mahakawi,
Yang berbuat sekehendak diri
Akan segala sesuatu mahamengetahui;
Yang menjadikan kejadian semesta
Mengadakannya daripada hal tiada
Dengan hanya titah sepatah kata
Kemudian memulangkannya kepada asalnya;
Yang memperlihatkan di alam tabii
Aneka tandaNya terlalu sani
Dari ufuk berganda ke diri insani
Menyatakan wajahNya yang mahaali;
Meskipun luhurnya jauh terala
Dari segala cita dan rasa dan indera,
Namun hampirNya begitu mesra
Lebih akrab dari aku dan kita.

Dialah Yang memberi petunjuk kepada hambaNya yang terpilih nescaya menuturi arah yang lurus dan benar; Yang memberkati mereka yang mengikrarkan keesaanNya dengan memeliharakan baginya kalimah shahadah dari kekabutan bisikan shak dan waswas; Yang memimpin mereka agar mematuhi jejak-langkah nabiNya pilihan, dan menganuti tauladan para sahabatnya mulia dengan mengarahkan langkahnya ke Jalan yang benar; Yang menyatakan diriNya kepada mereka yang memasangkan telinga dalam mushahadah dengan zatNya dan afaalNya dan aneka sifatNya yang mahaindah dan seni-seni; Yang mengenalkan kepada mereka bahawa Dia esa pada pihak zatNya, dengan keesaan yang menafikan kemungkinan adanya sekutu; sendiri, dengan kesendirian yang dikenali hanya oleh diriNya; tunggal tiada berbagai tiada berbanding tiada berlawan; mahaesa dan kadim tiada yang mendahuluiNya, dan tiada 'dahulu' bagiNya melainkan yang dahulu itu Ia jua; kekal azali tiada bermula, senantiasa wujud tiada yang kemudian daripadaNya, dan tiada 'kemudian' bagiNya melainkan yang kemudian itu pun Ia jua; kekal abadi tiada berkesudahan, wujud tiada hentinya, berada tiada akhirnya - bahkan adaNya kini seperti dahulu jua; dan tiada Dia terhenti dan tiadakan berhenti bagiNya diperikan dengan gelaran-gelaran keagungan yang terala.

Dan salawat yang tiada berputusan serta salam yang tiada berhabisan kepada abdi dan rasulNya junjungan kita Muhammad, pemilik panji kepujian yang mengikrarkan hakikat namanya sebagai mu'jizat nyata yang terus berlaku; yang

Meskipun zahir berbentuk bashari,
Batinnya bangsa terlalu safi,
Kerana peri haknya ruhani
Pernah berkata lisannya murni:
Sebagai nabi aku terkandung
Dalam rahasia di Balai Agung,
Padahal Adam masih terapung
Antara air dan tanah lempung.

Meskipun rupaku anak Adam,
Darjatku asal terlebih kiram.

Tatkala Adam belum teringat,
Tatkala Kalam belum tersurat
Dan Papantulis belum tercatat,
Sudah terpandang oleh kunhi Zat
Seri wajahku di dalam mirat.

Sinaran sani cahaya kamalat,
Pancaran murni asma dan sifat,
Rumusan seni segala makhlukat
Yang zahir pada cermin hakikat -
Dalam diriku semua terlibat.

yang awal dicipta dan akhir menjelma, sehingga kedatangannya seperti yang datang dari Jauh ditunggu-tunggu; imam segala nabi dan khatimnya semua, laksana permata jawhar bercahayakan air asali menghiasi gelang para anbiya, laksana mohor Raja Agung yang pertama-mula menerapkan kalimah tawhid pada kalbu-diri Insan; yang terbit bagai bulan purnama cahayanya indah mengusir kegelitaan malam Jahiliah; yang katanya sungguh dan benar dan caranya betul belaka; tauladan terbaik bagi anak Adam dan rahmat Ilahi bagi sekalian alam.

Seterusnya kepada keluarganya yang dipersuci kesuciannya, yang nasabnya tumbuh teguh dalam Sejarah, laksana pohon yang akarnya membenam merangkum bumi dan daunnya melambai di langit murni.

Dan kepada para sahabatnya yang bagai bintang tetap bertabur menghiasi langit kelam, laksana lantera laut memandu bahtera ke pantai Salam.

Syed Muhammad Naquib Al-Attas
Risalah Untuk Kaum Muslimin



Risalah untuk Kaum Muslimin ini adalah catatan kata lisan 
Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas pada tahun 1973, 
ketika beliau bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai 
Mahaguru Penyandang Kerusi Bahasa dan Kesusasteraan Melayu 
dan juga sebagai Pengasas serta Pengarah Institut Bahasa,
Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di Universiti itu.

Sedang Kaum Muslimin di merata dunia 
menderitai masalah kekeliruan 
mengenai Islam yang semakin meruncing, 

Risalah ini mengemukakan pandangan-pandangan 
Profesor al-Attas yang cukup berdaya-asli 
dalam maksud membimbing
Kaum Muslimin ke jalan yang benar. 

Sebab utama terjadinya 
keadaan buruk Kaum Muslimin dewasa ini, 
menurut beliau, 
adalah kejahilan masyarakat Muslim itu sendiri 
mengenai Islam secara yang menyeluruh. 

Iaitu, Islam sebagai agama yang sebenarnya 
yang mampu melahirkan 
peradaban yang luhur lagi agung, 
yang mampu menghasilkan ilmu-ilmu Islamiah 
yang tiada taranya dalam sejarah manusia. 

Kejahilan mengenai Islam itulah 
yang telah melenyapkan kesedaran 
akan tanggungjawab individu dan kaum Muslimin 
terhadap amanah ilmu dan akhlak, 
dan seterusnya memerangkap mereka 
dalam pelbagai macam kekeliruan ilmu 
dan penyelewengan amal, 
hingga mereka terus terbelenggu 
pada rantai penjajahan 
pemikiran Kuasa-Kuasa Besar Dunia masakini.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan