Jun 15, 2009

Puisi : Aku Bimbang, Khuatir







Aku sungguh bimbang sekali

Bahawa umat kita tidak akan bangkit lagi

Bukan kerana tiada pemimpin berwibawa di setiap bidang

Bukan kerana pertumbuhan ekonomi tidak cemerlang

Bukan kerana suasana politik yang tiada aman

Bukan kerana rakyat jelata malas berusaha siang malam



Aku khuatir umat kita tidak akan bangkit lagi,

Kerana pemimpin berwibawa di setiap bidang tidak didengarkan

Suara mereka yang berani-benar tentu tidak menyedapkan

Cadangan mereka mengislahkan perkara mengambil masa

Bukan untuk cepat mencari untung mengira laba

Bukan juga untuk menangi pilihan raya kan tiba

Bukan untuk menagih liputan media massa

Hanya inginkan kejayaan berkekalan

Mendapat keredhaan di dua kehidupan



Aku khuatir umat kita tidak akan bangkit lagi,

Kerana pertumbuhan ekonomi cemerlang tidak digunakan

Untuk mengukuh akhlak tinggi di peringkat atasan

Yang mudah berubah dengan longgokan kekayaan

Yang takabbur lalu merendah bidang tak menguntungkan.



Aku takut umat kita tidak akan bangkit lagi

Walau ekonomi melambung tinggi

Umatku sibuk membeli saham menjual budi

Anggap sekolah, madrasah tidak bererti jika gagal meningkatkan gaji

Universiti tidak dinilai secara insani, hanya patuh nafsu industri

Yang sering berubah mengikut pasaran

Pasaran berubah mengikut perasaan.



Aku bimbang walaupun suasana politik begitu aman

Rakyatku sentiasa ditakutkan dengan cerita khayalan

Tidak berani menyata kata walau hak didusta selalu

Tidak sanggup membuka mata walau muka diconteng melulu

Tidak malu membuat fitnah walau berada di pintu Kaabah

Tidak gentar pada al-Haqq kerana takut hilang anugerah.



Aku bimbang umatku tidak akan bangkit lagi

Kerana yang malas selalu diganjari

Kerana pandai memuji tinggi

Kerana terlalu tunduk mematuhi

Tanpa mengira ajaran amaran Ilahi

Tanpa mengikut undang-undang negeri

Ulama dapat dibeli, hakim dapat ditakuti.



Bagaimana kita akan bangkit semula melawan musuh

Jika ayam jantan yang senang berkokok setiap subuh

Membuka mata bangsa, menjernihkan yang lama keruh

Dipotong lidahnya, disepak terajang si anak bodoh?



Aku sungguh bimbang kita akan terus begini

Kerana puyuh pentadbir diangkat mengawal helang ilmi

Tata-cara sekolah rendah diguna-pakai di universiti tinggi

Kaedah mengurus wang dipertuhankan, dianggap suci

Diguna membangun insan, menilai sumbangan ulama dan Nabi.



Kita akan terus begini seribu tahun lagi

Kerana tabiat buruk membazir sentiasa diulangi:

Suka merungkai semula ikatan yang telah diikat kejap

Membuka kembali tenunan halus nan telah lama siap

Menebang pokok meranti tinggi, rendang dan tegap

Semata-mata kerana benci, dengki dan hasad!



Bagaimana kita akan bangkit semula

Memimpin dunia mendapat syurga?

Jika ibu-bapa pintar melahir anak cuma

Jika pelajar hanya mahu lulus periksa dan cari kerja

Jika guru, pensyarah kehilangan arah

Ilmu terpaku di dada ijazah

Jika peniaga bermain politik, bertuhankan laba

Ahli politik memperniaga prinsip dan akhlak segala

Jika cendekiawan cuma mengikut dan membuat komentar-

Cekap mengubah fakta, meminda makna, mengejar kuasa

Adam akan menyesal

Dan Iblis berkenduri besar.



sumber


Tiada ulasan:

Catat Ulasan