Imam Al-Ghazali dalam catatan Ihya`nya telah berusaha untuk memperjelaskan ingredient yang diperlukan oleh diri seseorang untuk melahirkan kesempurnaan akhlak yang baik atau mulia dalam dirinya. Oleh kerana persoalan akhlak ini merupakan persoalan batin seseorang, maka pembicaraan dan analisis al-Ghazali di sini sudah memasuki daerah psikologi rohaniah yang cukup mendalam. Beliau cuba menjelaskan persoalan ini dengan membuat perbandingan dengan aspek zahir diri manusia bagi memudahkan kefahaman. Justeru itu, beliau mengatakan bahawa, sebagaimana keelokan dan keindahan gambaran zahir diri manusia itu secara mutlaknya tidak akan menjadi sempurna tanpa gabungan beberapa aspek. Contohnya muka tidak akan kelihatan cantik dan sempurna dengan hanya cantik dan sempurnanya dua mata sahaja, sedangkan hidung, mulut serta pipi misalnya cacat dan hodoh. Maka demikianlah juga halnya dengan diri batin manusia tersebut. Ia memerlukan gabungan beberapa elemen untuk berupaya tampil mempamirkan keindahan dan kecantikannya. Aspek batin yang indah serta cantik itulah yang akan melahirkan perlakuan akhlak yang baik dan mulia. Elemen-elemen penentuan yang dimaksudkan oleh al-Ghazali yang dianggap oleh beliau sebagai rukun ialah empat kekuatan atau daya yang ada dalam diri manusia, iaitu: (a) Kekuatan atau daya ilmu melahirkan kebijaksanaan (hikmah). (b) Kekuatan atau daya marah melahirkan keberanian (syaja`ah). (c) Kekuatan atau daya syahwat melahirkan ketabahan ('iffah). (d) Kekuatan atau daya kesederhanaan melahirkan keadilan ('adl). Al-Ghazali menjelaskan apabila setiap satu daripada keempat-empat rukun tersebut berada dalam keadaan baik dan wajar di dalam diri seseorang, sehingga elemen keadilan dapat memaksakan daya kekuatannya ke atas ketiga-tiga elemen yang lain, maka akan terhasil dan terpamerlah perlakuan akhlak yang baik dan mulia pada diri orang berkenaan. Untuk menjadikan persoalan yang dibicarakan ini lebih konkrit dan lebih jelas, maka ungkapan 'baik dan wajar' yang dijelaskan oleh al-Ghazali di atas sebagai syarat bagi terhasilnya akhlak yang baik itu mestilah didefinisikan dengan jelas. Keadaan bagaimana sebenarnya yang dikatakan bahawa keempat-empat rukun itu sedang berada dalam keadaan atau suasana yang 'baik dan wajar'. Bagaimana pula ciri-cirinya? Dalam konteks ini, al-Ghazali menjelaskan dalam lhya` 'Ulum al-Din: "Adapun kekuatan ilmu, maka kebaikan dan kesesuaian kewajarannya berada pada keadaan di mana dengan kekuatan ilmu tersebut memudahkan pemiliknya faham serta boleh membuat perbezaan di antara kebenaran dan kedustaan dalam kata-kata, membuat perbezaan di antara al-haq dan al-batil dalamakidah, dan membuat perbezaan di antara yang baik dan yang buruk dalam laku perbuatan. Apabila baik sejahtera daya kekuatan ilmu ini, ia akan menghasilkan hikmah; dan hikmah itu pula merupakan pangkal utama kepada perlakuan akhlak yang baik. Hikmah seumpama inilah yang terungkap dalam firman Allah S.W.T: (maksudnya): "Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat kebijaksanaan itu, maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak." [al-Baqarah (2): 269] Adapun kekuatan marah pula, maka kebaikannya berada pada keadaan di mana pemiliknya menjadikan suasana tertekan dan suasana lapang, kedua-duanya diperlakukan mengikut had dan kadar yang dituntut dan diperlukan oleh hikmah. Demikian pula halnya dengan kekuatan syahwat di mana kebaikan dan kewajarannya berlaku apabila ia berada di bawah panduan hikmah; iaitu yang dimaksudkan oleh al-Ghazali, ia berada di bawah panduan akal dan syarak. Sedangkan kekuatan keadilan pula, ia merupakan usaha penyesuaian syahwat dan marah supaya sentiasa berada di bawah panduan dan petunjuk akal serta syarak. Al-Ghazali menjelaskan kepada kita beberapa contoh serta perbandingan ibarat untuk memperkukuhkan pandangan beliau:
Dengan itu, jelaslah kepada kita bahawa akhlak yang baik itu akan hanya dapat dimiliki oleh seseorang manusia apabila setiap diri manusia tersebut berupaya mengembang dan membawa potensi-potensi diri yang mereka miliki iaitu upaya ilmu, kekuatan marah, kekuatan syahwat dan kekuatan keadilan ke arah yang diredai oleh akal murni dan syarak. Justeru itu, dapat pula kita fahami secara umum bahawa apa yang dimaksudkan dengan akhlak yang baik itu ialah apa-apa juga perlakuan yang muncul di permukaan diri manusia hasil terjemahan kepada suatu keadaan yang sudah sedia sebati dalam dirinya dan mestilah pula sesuai dengan kehendak syarak dan akal murni manusia. sumber (dengan sedikit perubahan) | |
Jun 20, 2009
Hikmah, Syaja`ah, 'Iffah, 'Adl
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan