Dalam tulisan ini, insya-Allah, saya akan menuliskan beberapa pemerhatian ringkas dan sederhana berkaitan empat jalan fikiran yang membina dua buah kesimpulan yang paling mahsyur dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia, khususnya dalam isu nama Allah, iaitu antara kesimpulan yang membolehkan dan melarang. Tujuan penulisan ini, secara umumnya, tidak bermatlamat untuk membincangkan kesemua jalan fikiran ini secara mendalam terutamanya jalan fikiran liberalis agama dan jalan fikiran liberalis. Walaubagaimanapun, saya ada menyertakan beberapa tulisan saya yang lain berkaitan jalan fikiran tekstualis dan jalan fikiran yang melangkaui tekstualis dan fiqh. Secara umumnya, tulisan ini bermanfaat kepada siapa-siapa yang mahu berusaha memahami isu ini secara lebih mendalam, secara adil dan saksama. Saya cuma menyediakan kunci, anda sendiri perlu membukanya bagi mendapatkan ilmu yang pasti.
Pandangan yang membolehkan, dalam pemerhatian saya, berasal daripada dua buah jalan fikiran. Begitu juga dengan pandangan yang melarang, juga berasal daripada dua buah jalan fikiran.
Kesimpulan yang membolehkan daripada dua buah jalan fikiran
Ada dua buah jalan fikiran utama di sini, iaitu : jalan fikiran liberalis agama dan tekstualis.
Jalan fikiran liberalis agama
Saya pertama kali didedahkan kepada faham ini secara ilmiah oleh Dr. Ugi Suharto tahun lalu. Berkaitan dengan isu nama Allah ini, kecenderungan jalan fikiran liberalis agama, secara umumnya, adalah bagi membenarkan faham transcendent - satu bentuk kesatuan agama-agama di peringkat yang tertinggi. Atau boleh juga difahami begini, amalan-amalan sembahyang yang khusus dalam pelbagai agama cumalah bentuk-bentuk manifestasi kerohanian, sungguhpun berbeza-beza, yang boleh diterima dan tak perlu dibeza-bezakan kerana pada hakikatnya, semua bentuk sembahyang ini menuju kepada Tuhan yang sama. Oleh itu, tiada agama yang berhak mengaku dirinya sahajalah yang paling benar di sisi Tuhan.
Jalan fikiran tekstualis
Sila rujuk tulisan saya dengan tema "Membedah" pandangan Dr. Asri bagi memahami cara pandang jalan fikiran ini dengan lebih baik.
Berikut merupakan sudut pandang utama Dr. Asri bertarikh 27 April 2008 dalam tulisannya berjudul "Beza antara merebut nama Allah dan mempertahankan akidah";
1) Keluhuran akidah Islam bukannya pada penggunaan kalimah Allah tetapi "penafian segala unsur syirik". Cabaran yang sebenar bukannya dalam merebut nama Allah, tetapi "[pembinaan] semula akidah yang sejahtera".
2) "Isu ini bukan isu nas Islam". Oleh itu, dahulukan merujuk al-Quran dan al-Sunnah. Hal ini kemudiannya diikuti oleh kefahaman literal beliau terhadap ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan penggunaan nama Allah oleh kumpulan musyrikin di zaman jahiliah, juga dengan mencatatkan penggunaan nama Allah sebagai sebahagian daripada nama ayahanda Rasulullah S.A.W. Beliau juga merujuk kepada peristiwa perjanjian Hudaibiah seperti mana yang dicatatkan oleh Imam Muslim dalam sahihnya.
3) "pendirian Islam bukanlah dengan falsafah-falsafah tentang akar bahasa".
4) Isu "kefahaman mengenai keadilan dan kerahmatan Islam" lebih utama daripada isu ini.
5) Isu ini tidak patut dihadapi secara defensif, malah boleh memudahkan lagi penyebaran kefahaman Islam. Isu ini sebenarnya menzahirkan lagi kelemahan umat Islam dalam menghayati akidah Islam yang sebenar. Menyelesaikan masalah ini menurut lunas undang-undang merupakan salah satu tandanya.
6) Merujuk kepada penggunaan nama Allah dalam bible orang-orang Kristian Arab.
7) "pengajaran akidah yang dinamakan ilmu kalam begitu berfalsafah dan menyusahkan". Menurut beliau lagi, kesannya dapat dilihat daripada kegagalan anak-anak muda Islam memahami faham tauhid yang sebenar.
Rumusan ringkas berdasarkan tulisan Dr. Asri
Alhamdulillah, sekarang saya telah berkongsi tujuh sudut pandang utama Dr. Asri dalam isu ini. Ketujuh-tujuh sudut pandang utama ini seterusnya, insya-Allah, akan membantu kita memahami kaedah berfikir dan kerangka ilmu Dr. Asri dengan lebih baik.
Selain itu, saya juga percaya Dr. Asri masih lagi berpendirian teguh dengan pandangan-pandangan beliau ini, seperti mana yang dapat dilihat melalui penerbitan kali kedua artikel ini dalam entry laman web beliau bertarikh 2 Januari 2010.
*Selain daripada kedua-dua buah jalan fikiran ini, saya fikir ada kemungkinan wujudnya jalan fikiran "pertengahan" antara liberalis agama dan tekstualis. Jalan fikiran yang saya maksudkan ialah jalan fikiran liberalis.
**Perbezaan faham liberal klasik daripada faham-faham liberalisasi agama
Faham liberal klasik
Pada pandangan saya, jalan fikir liberalis ini boleh dibezakan daripada jalan fikiran liberalis agama kerana tumpuan jalan fikir ini adalah berlandaskan kepada prinsip kebebasan dalam faham liberal klasik atau libertarian, di mana setiap individu adalah bebas membuat pilihan tetapi individu tersebut mestilah sepenuhnya bertanggungjawab dengan pilihan yang dibuat. Pokoknya, anda perlu bertanggungjawab atas diri anda sendiri. Dan orang lain tidak berhak memaksakan pilihan mereka atas diri anda sebagaimana anda juga tidak berhak memaksakan pilihan anda atas orang lain.
Walaubagaimanapun, pilihan individu ini masih lagi dibatasi oleh undang-undang negaratidak bermaksud kebebasan mutlak. Liberal klasik dalam bentuk pemerintahan hari ini boleh dilihat dalam kerangka demokrasi liberal. Bertitik tolak daripada prinsip kebebasan ini juga, seseorang individu itu akan mendapat jaminan oleh pemerintah untuk hidup bebas daripada sebarang ancaman atau ugutan bunuh, memiliki hak milik yang merupakan hasil titik peluh sendiri dan bebas daripada sebarang bentuk perhambaan.
Dan sebagaimana anda mahu keselamatan hidup, hak milik dan kebebasan anda daripada sebarang bentuk perhambaan dijamin, begitu jugalah perihalnya sikap dan perbuatan anda terhadap orang lain. Anda juga tidak boleh membunuh, mencuri dan/atau memperhambakan orang lain sesuka hati anda. Beginilah beberapa prinsip dalam faham liberal klasik seperti mana yang difahami oleh seseorang libertarian.
Namun yang paling perlu diberikan perhatian di sini, faham ini tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan agama dan teologi. Ia hanyalah bermatlamat menguruskan perhubungan manusia. Dan kalau seseorang liberal atau libertarian itu sudah mencampurkan faham libertarian dengan teologi atau keagamaan atau kerohanian, itu merupakan salah satu tanda individu tersebut memahami kerangka pemikiran liberasasi agama seperti mana yang difahami oleh kebanyakan ulama di Malaysia kecualilah sekiranya mereka mempunyai kefahaman yang berbeza tentang faham transcendent (ini merupakan sebuah kemungkinan. Tambahan pula, saya punya firasat bahawa ada dalam kalangan mereka ini yang punya kefahaman berbeza berkaitan hal ini. Dari segi inteletkual dan rasionalisasi pula, saya anjurkan supaya sesi-sesi perbincangan serius diperbanyakkan dalam kalangan ilmuwan berwibawa. Saya pernah khuatir sekiranya kita memahami sesuatu yang sama dengan bahasa, istilah, kaedah dan keupayaan yang berbeza. Kesannya, kita mungkin "bercakaran" atas perkara yang tidak perlu.
Oleh sebab itulah, berbekalkan ilmu dan kefahaman yang saya terima secara langsung atau tidak langsung (pembacaan dan/atau rakaman video) daripada Dr. Ugi Suharto, Prof. Wan, Dr. Khalif Muammar , Dr. Adian Husaini dan Wan Ahmad Fayhsal, saya tidak dapat bersetuju dengan faham ini. Allah lebih Mengetahui).
Namun, secara umumnya, faham liberal klasik ini juga masih lagi boleh dipermasalahkan ataupun diperdebatkan, terutamanya apabila berusaha dijodohkan dengan Islam. Antaranya adalah seperti berikut, kefahaman atas "pilihan" dan "kebebasan" daripada pandangan alam liberal klasik dan Islam. Persoalan melakukan sesuatu (bentuk perbuatan) dengan disertakan niat yang betul (niat kerana Allah) juga ada dibahaskan (hasil melihat perbincangan facebook Wan Ahmad Fahysal atau Wan Rausyanfikir dan Amin Ahmad). Misalnya, bagaimana sedekah boleh berbeza dengan charity atau donation? Adakah setiap perbuatan itu, terutamanya dalam perkembangan nilai dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia, sentiasa perlu kepada bentuk perbuatan dan niat yang betul (niat kerana Allah) oleh semua orang, walaupun yang bukan Islam?
Dalam kaitannya dengan isu nama Allah ini pula, saya berpendapat, libertarian mungkin membuat kesimpulan dengan pertama, menyelesaikan "penjodohan" prinsip-prinsip liberal klasik dan Islam dan kemudiannya mendapatkan sokongan daripada pengumpulan dan kefahaman teks-teks al-Quran berkaitan secara literal.
Faham Liberalisasi Agama
Kalau liberalis bermatlamat menguruskan perhubungan manusia tanpa secara langsung mencampuri hal-hal kerohanian yang difahami sebagai pilihan dan urusan peribadi, matlamat utama jalan fikiran liberalis agama pula adalah bagi merungkai atas nama "membebaskan" agama daripada autoriti agama yang dilihat sebagai jumud dan ketinggalan zaman.
Ini termasuklah merungkai prinsip-prinsip akidah Ahlus sunnah wal jama'ah seperti dalam manhaj Asha'ari dan Maturidi. Misalnya, pengetahuan Tuhan itu hanya pada perkara-perkara yang bersifat kulli sahaja, tidak pada juz'i. Perkembangan kefahaman ini juga dapat dilihat pada kebergantungan mereka kepada prinsip sebab-akibat yang memisahkan "campur tangan" Tuhan di dunia ini. Kefahahaman ini seolah-olah mengatakan bahawa kuasa Tuhan itu terbatas.
Dalam penafsiran al-Quran pula, mereka ini berusaha menggunakan kaedah hermenutika, sebuah kaedah memahami Bible, kerana mereka merasakan bahawa al-Quran itu merupakan sebuah produk budaya bangsa Quraisy, sebuah perendahan martabat al-Quran sebagai kalamullah. Ringkasnya, faham liberalisasi agama tidak boleh dipukul rata sebagai sama dengan faham liberal klasik. Namun, persamaan dalam beberapa prinsip tentunya ada.
Dan dalam kaitannya dengan isu nama Allah ini, matlamat liberalisasi agama adalah bagi penyamarataan agama di peringkat tertinggi, transcendent.
Kesimpulan yang melarang daripada dua buah jalan fikiran
Ada dua buah jalan fikiran utama di sini iaitu jalan fikiran tekstualis dan fiqh dan jalan fikiran yang melangkaui tekstualis dan fiqh.
Jalan fikiran tekstualis dan fiqh
Jalan fikiran ini boleh difahami dengan mudah dengan merujuk tulisan Ustaz Zaharuddin bertajuk "Larangan Kristian Menggunakan Nama Allah: Ulasan Ringkas".
Jalan fikiran yang melangkaui tekstualis dan fiqh
Sila rujuk tulisan saya dengan tema "Membedah" pandangan Dr. Khalif bagi memahami cara pandang jalan fikiran ini dengan lebih baik.
Sebagai permulaan, perlu kiranya saya maklumkan bahawa Dr. Khalif mewakili pandangan yang tidak membenarkan. Dr. Asri pula mewakili pandangan yang membolehkan.
Bertitik tolak daripada kenyataan ini, saya akan berusaha meringkaskan buah fikiran kedua-dua orang ustaz ini.
*Alhamdulillah, saya sempat mendapatkan maklum balas daripada Dr. Khalif sendiri berkaitan penulisan ini. Harap maklum bahawa mulai 7 Januari 2010, artikel ini telah saya sertakan dengan empat ulasan ringkas Dr. Khalif (ditandai dengan tulisan berwarna hijau) terhadap tulisan ini. Ini merupakan hasil interaksi saya dengan beliau melalui facebook. Terima kasih saya ucapkan kepada Dr. Khalif kerana sudi memberikan maklum balas yang cukup bermanfaat buat penulisan ini.
Tulisan pertama Dr. Khalif
Saya mulakan dengan sudut pandang Dr. Khalif bertarikh 20 Januari 2008 dalam tulisannya berjudul "Isu Herald: Ketika agama diheret untuk kepentingan politik". Berikut merupakan ringkasan buah fikiran beliau;
1) Adanya mentaliti "pandangan kami semestinya berbeza dengan penguasa". Mentaliti mereka ini dalam huraian Dr. Khalif berbunyi "apapun pandangan lawan adalah salah dan apapun pandangan kawan adalah benar".
2) Kalimah "Allah" merupakan kalimah teknikal- sebuah kata nama khas yang menghimpunkan pandangan alam (boleh juga difahami sebagai pandangan hidup) Islam (setelah melalui proses Islamisasi. Huraian lanjut Dr. Khalif tuliskan di artikel beliau yang berikutnya bertarikh 14 Mei 2008). Penyalahgunaan kalimah ini merupakan satu bentuk ketidakadilan dan kebiadaban berbahasa yang boleh menyebabkan berkembangnya kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam yang menggunakannya. Antara kekeliruan jangka masa panjang yang dimaksudkan adalah kegagalan membezakan antara konsepsi Tuhan dalam agama Islam dengan agama Kristian.
3) Toleransi agama bukannya dengan cara membiarkan penggunaan kalimah ini secara tidak adil dan biadab.
4) Pengalaman membolehkan di Indonesia dan Lubnan bukanlah contoh yang baik bagi membolehkan.
5) Bahasa Melayu sudah punya kumpulan perkataan yang juga/boleh digunakan buat menghimpunkan pandangan alam selain Islam seperti Paderi dan Sami (contoh perkataan dengan rujukan khusus) dan Tuhan (contoh perkataan dengan rujukan yang lebih umum). (Ulasan Dr. Khalif: perlu dihalusi lagi. Hal ini akan saya usahakan , insya-Allah. Diharapkan para pembaca dapat merujuk artikel ini dari masa ke masa bagi membaca hasil tulisan yang telah dikemas kini. Para pembaca boleh merujuk terus kepada tulisan-tulisan Dr. Khalif dalam hal ini seandainya tidak sabar menunggu. Insya-Allah).
6) Kita perlu fikirkan kesan jangka masa panjang. Antaranya ialah persoalan kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam seperti mana yang telah saya ringkaskan di sudut pandang (2) di atas. Selain itu, adalah mengambil kira permasalahan pengaruh falsafah luar, secara umumnya, seperti pluralisme dan liberalisme agama yang boleh mengelirukan pandangan alam Islam dalam kalangan masyarakat. (Ulasan Dr. Khalif: [ini] bukan saja jangka panjang tetapi juga dengan mendalam, berhati-hati. tidak mudah mengambil kesimpulan berdasarkan pembacaan literal).
Tulisan kedua Dr. Khalif
Berikut merupakan sudut pandang Dr. Khalif bertarikh 14 Mei 2008, dalam tulisan beliau berjudul "Isu nama Allah: Persoalan aqidah bukan perebutan nama". Sudut pandang yang sama dengan yang ada dalam tulisan pertama Dr. Khalif tidak akan saya ulang catatkan di sini. Cukup dengan mencatatkan begini;
Bagi sudut pandang dengan isi dan makna yang berulang, sila rujuk sudut pandang bernombor (2), (3), (5), dan (6)
Beberapa huraian tambahan ada Dr. Khalif tuliskan dalam artikel ini. Harap maklum, huraian-huraian tambahan ini tidak saya catatkan di sini bagi memudahkan kita semua melihat sudut-sudut pandang yang utama dengan tidak menyertakan semua huraian berkaitan. Tambahan pula, huraian-huraian tambahan ini boleh dirujuk sendiri oleh pembaca sekalian. Insya-Allah.
Sudut-sudut pandang lain adalah seperti berikut (nombor rujukan merupakan lanjutan daripada 6 sudut pandang di atas);
7) "Tidak ada nas sorih dan qat'i dalam persoalan ini"
8) Ijtihad tidak dihasilkan dengan hanya merujuk kepada nas secara literal lebih-lebih lagi persoalan ini bukannya semata-mata persoalan fiqh (Ulasan Dr. Khalif: bukan ijtihad tetapi ulama perlu memberikan pandangan berdasarkan pemikiran yang mendalam bukan hanya pencarian nas). Oleh itu, perlulah juga mengambil kira perkara-perkara lain seperti maqasid, falsafah, perkembangan sejarah (daripada segi Islamisasi) dan lain-lain.
9) Umat Islam sekarang kurang kesepakatan. Boleh dikaitkan dengan sudut pandang (1). (Ulasan Dr. Khalif: [kesepakatan ini adalah perlu] agar kecelaruan dapat dihindari dan kesepakatan dapat dicapai maka umat Islam perlu merujuk pada autoriti yang benar bukan ilmuwan 'popular').
Tulisan ketiga Dr. Khalif
Berikut merupakan sudut pandang Dr. Khalif bertarikh 2 Mac 2009, dalam tulisan beliau berjudul "Why non Muslim cannot use the word Allah".
Sudut pandang yang berulang adalah seperti berikut (mengandungi isi dan makna yang sama dengan kedua-dua tulisan beliau sebelumnya); sudut pandang (2), (3), (4) dengan hanya memberi contoh Indonesia, (6), (7), (8) dan (9).
Beberapa huraian tambahan ada Dr. Khalif tuliskan dalam artikel ini tetapi tidak saya sertakan di sini.
Sudut pandang yang lain adalah seperti berikut;
10) Pengunaan nama Allah dalam al-Quran mempunyai dua bentuk: umum dan khusus. Bentuknya yang khusus inilah yang telah mencorakkan pandangan alam Islam masyarakat hasil Islamisasi. Sebab itulah, pengunaan Tuhan (yang bukan merupakan kata nama khas sekalipun) oleh masyarakat Islam telah mereka fahami sebagai membawa pengertian yang khusus.
Rumusan ringkas berdasarkan tulisan-tulisan Dr. Khalif
Saya telah berusaha meringkaskan sudut-sudut pandang utama yang mencerminkan kaedah berfikir dan kerangka ilmu yang dimanfaatkan oleh Dr. Khalif sebelum beliau menuliskan pandangan beliau dalam hal ini. Hasilnya, saya telah mengenal pasti sepuluh sudut pandang utama beliau bagi kefahaman umum para pembaca.
Rumusan Ringkas daripada penulisan ini
Harap maklum, tulisan ini bukanlah sebuah hasil kajian yang menyeluruh dalam menghuraikan semua cara pandang yang lengkap bagi semua jalan fikiran, tetapi memadailah, insya-Allah sebagai sebuah penulisan yang bersifat sebagai sebuah tinjauan awal dan ringkas saya bagi kajian lanjut atau bagi dilengkapkan oleh ilmuwan-ilmuwan lain yang lebih berwibawa.
Pandangan saya pula adalah selari dengan pandangan jalan fikiran yang melangkaui tekstualis dan fiqh dalam hal ini seperti mana yang saya tuliskan dalam Isu nama Allah: Pencerahan atas pencerahan.
Menulis tulisan ini membuatkan saya teringat kepada kaedah penulisan Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali, menulis dahulu "maqasid", baru diikuti dengan "tahafut". Saya juga jadi teringat kepada tulisan Pak Khalid yang lebih kurang begini bunyinya, dengan cara ini tulisan Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali itu bermanfaat kepada kedua-dua pihak yang menentang atau menyokong beliau. Menginsafi tulisan berunsur nasihat tersebut membuatkan saya sendiri mengusahakan penulisan sebegini. Walaupun saya tahu pandangan Pak Khalid dalam isu nama Allah berbeza, tetapi saya percaya nasihat sebegini cukup bermakna.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan