Januari 13, 2010

Isu Kalimah Allah






Isu Kalimah Allah
oleh Emir Abu Khalil



Kalimah Allah yang menjadi isu hangat ketika ini telah mencetuskan suasana hingar-bingar dalam negara yang kita kasihi ini. Di satu pihak, mereka mahu menggunakan kalimah tersebut bagi menggantikan kata nama ‘Tuhan’ yang mereka gunakan dalam upacara keagamaan dan juga dalam tulisan makalah atau artikel yang mereka terbitkan. Dan di satu pihak yang lain, mereka mempertahankan kalimah ini untuk ekslusiviti kepada ummat Islam sahaja dengan beberapa sebab.


Penggunaan kalimah tersebut oleh orang bukan Islam akan membawa kekeliruan kepada ummat Islam di Malaysia. Secara telus, ummat Islam di Malaysia masih ramai yang mempunyai sikap lepas tangan atau jahil mengenai agamanya sendiri, hujjahnya diukur daripada akhlak dan sikap mereka menghayati Islam dalam kehidupan serta bagaimana mereka mempraktikkannya. Tidak kurang juga yang tidak memberi didikan agama yang cukup kepada anak-anak dan keluarga mereka tentang Islam. Ada pula yang masih belum mengenali Islam dengan lebih dalam. Maka ia boleh menyebabkan kekeliruan kepada mereka sehingga mereka akan melihat bahawa Islam dan Kristian ialah agama yang sama.


Apa yang lebih penting dalam tulisan saya kali ini ialah saya ingin menghuraikan dari aspek ilmiah tentang kalimah Allah ini. Kalimah Allah dalam bahasa Arab ialah isim ma’rifah [yang bererti kata nama khas] yang mana ia diambil daripada kalimah ‘ilah’ yang merupakan isim nakirah, [iaitu kata nama am]. Kalau diterjemahkan kalimah syahadah itu ia akan berbunyi ‘tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah’. Terjemahan syahadah itu adalah setelah diambil kira sisi-sisi pentingnya sifat ‘Ilah’ di dalam al-Quran. Maka Allah bukan semata-mata bererti Tuhan, tetapi lebih daripada itu.


Sekiranya pihak gereja masih bertekad dan berdegil mahu menggunakan kalimah (lafaz) tersebut, maka mereka perlu mengimplimentasikan pemahaman dan pencernaan (makna) kalimah tersebut juga dalam ibadah dan amalan mereka seharian. Pemahaman dan pencernaan kalimah tersebut boleh didapati daripada tulisan Syed Abul ‘Ala al-Maududi bertajuk Empat Istilah di dalam al-Quran pada bab yang menerangkan kalimah ‘Ilah’. Berdasarkan beberapa potongan ayat-ayat Allah yang digunakan sebagai hujjah di dalam buku tersebut, ‘Allah’ menafikan bahawa Dia adalah seperti patung-patung yang disembah manusia (QS:37:91), ataupun Dia seperti hawa nafsu manusia (QS:25:43). Maka Dia ialah sesungguhnya Maha Esa, Tunggal, dan tidak boleh disekutukan dengan siapa dan apa pun.


Andai pihak gereja tetap berkeras, maka mereka tidak boleh menggunakan konsep triniti untuk menyamakannya dengan Allah. Kerana Allah bukan semata-mata bererti Tuhan dan tidak berhenti pada sekadar lafaz, malah applikasi kalimah tersebut ialah sehingga kepada penghayatan dan kefahaman yang tinggi.


Ketika mana kaum musyrikin Mekkah suatu ketika dahulu ditempelak dan dihina oleh Allah adalah kerana mereka mengakui bahawa Allah-lah Rabb yang menjadikan bumi ini, memberikan rezeki, menghidup dan mematikan, namun mereka lalai dalam menyembahnya, yakni, meng ‘ilah’kannya dengan menduakan Allah dengan perantaraan melalui berhala-berhala. Tetap, iman mereka tidak diterima kerana Allah itu diimani dengan rububiyyah dan uluhiyyah-nya. Begitulah juga di dalam hal ini, kita mengajak masyarakat kristian yang mahu menggunakan kalimah ini supaya benar-benar mengimani kalimah tersebut, dan bukan sekadar menjadi kata ganti nama di dalam akhbar mereka mahupun khutbah.


Apabila mereka mengimani kalimah ini, maka seterusnya mereka mesti menunaikan hak-hak Allah yang mereka sebutkan sebagai Ilah dan Rabb. Meninggalkan perkara yang dilarang dan melaksanakan perintah yang disuruh. Juga mereka perlu mengangkat syahadah (kesaksian) bahawa nabi Muhammad ialah Rasul Allah yang terakhir, penutup segala pintu kenabian, penghulu para anbiya` dan mursalin, juga bahawa Nabi Isa a.s. ialah seorang nabi dan rasul yang dipilih oleh Allah bukannya anak tuhan, ataupun tuhan.


Saya sedia maklum bahawa di sebahagian negara-negara arab ada juga kaum kristian yang menggunakan kalimah tersebut, tetapi mereka mengatakan bahawa Tuhan itu ialah satu yakni tidak menyalahi sifat Allah yang Esa dan Tunggal. Maka, seandainya mereka tidak mengikut fasa-fasa selepas daripada mengimani bahawa Allah itu ialah Esa dan Tunggal, sekurang-kurangnya mereka tidak menyalahi sifat Allah tersebut.


Pembakaran gereja-gereja ialah satu isu yang boleh memihak kepada kedua-dua belah pihak. Maka ia wujud syubhah, boleh jadi di satu pihak membuat perlakuan tersebut, boleh jadi juga di pihak yang lain. Apa pun, siasatan perlu dilakukan dengan terperinci, bukan main serkap jarang atau sekadar menuding jari kepada sesiapa.


Persoalan bagi ummat Islam ialah, sekalipun kita boleh menang di Mahkamah Rayuan dan menang hak eksklusif ke atas kalimah tersebut, apakah yang menjamin kalimah tersebut tetap kekal di dalam dada ummat Islam hari ini terutamanya remaja? sedangkan kita melihat petaka yang menimpa harapan ummat ini seperti dilanda garuda, dengan maksiatnya, dengan akhlaknya, agama mereka sendiri yang seperti asing, dan seumpamanya. adakah kita sekadar melihat? apa peranan kita?


Tulisan saya ialah semata-mata pandangan saya, boleh jadi saya benar, boleh jadi saya salah. Manusia itu boleh diterima dan ditolak pandangan dan perkataannya (usul ke-6, Hassan al-Banna). Ia tidak mewakilkan pandangan ISMA (Ikatan Muslimin Malaysia) dalam isu ini, dan pandangan ISMA dalam isu kalimah Allah ini boleh dibaca daripada sini dan sini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan