Jun 20, 2009

Hikmah, Syaja`ah, 'Iffah, 'Adl





Imam Al-Ghazali dalam catatan Ihya`nya telah berusaha untuk memperjelaskan ingredient yang diperlukan oleh diri seseorang untuk melahirkan kesempurnaan akhlak yang baik atau mulia dalam dirinya. Oleh kerana persoalan akhlak ini merupakan persoalan batin seseorang, maka pembicaraan dan analisis al-Ghazali di sini sudah memasuki daerah psikologi rohaniah yang cukup mendalam.


Beliau cuba menjelaskan persoalan ini dengan membuat perbandingan dengan aspek zahir diri manusia bagi memudahkan kefahaman. Justeru itu, beliau mengatakan bahawa, sebagaimana keelokan dan keindahan gambaran zahir diri manusia itu secara mutlaknya tidak akan menjadi sempurna tanpa gabungan beberapa aspek.


Contohnya muka tidak akan kelihatan cantik dan sempurna dengan hanya cantik dan sempurnanya dua mata sahaja, sedangkan hidung, mulut serta pipi misalnya cacat dan hodoh. Maka demikianlah juga halnya dengan diri batin manusia tersebut. Ia memerlukan gabungan beberapa elemen untuk berupaya tampil mempamirkan keindahan dan kecantikannya. Aspek batin yang indah serta cantik itulah yang akan melahirkan perlakuan akhlak yang baik dan mulia. Elemen-elemen penentuan yang dimaksudkan oleh al-Ghazali yang dianggap oleh beliau sebagai rukun ialah empat kekuatan atau daya yang ada dalam diri manusia, iaitu:


(a) Kekuatan atau daya ilmu melahirkan kebijaksanaan (hikmah).

(b) Kekuatan atau daya marah melahirkan keberanian (syaja`ah).

(c) Kekuatan atau daya syahwat melahirkan ketabahan ('iffah).

(d) Kekuatan atau daya kesederhanaan melahirkan keadilan ('adl).


Al-Ghazali menjelaskan apabila setiap satu daripada keempat-empat rukun tersebut berada dalam keadaan baik dan wajar di dalam diri seseorang, sehingga elemen keadilan dapat memaksakan daya kekuatannya ke atas ketiga-tiga elemen yang lain, maka akan terhasil dan terpamerlah perlakuan akhlak yang baik dan mulia pada diri orang berkenaan.


Untuk menjadikan persoalan yang dibicarakan ini lebih konkrit dan lebih jelas, maka ungkapan 'baik dan wajar' yang dijelaskan oleh al-Ghazali di atas sebagai syarat bagi terhasilnya akhlak yang baik itu mestilah didefinisikan dengan jelas. Keadaan bagaimana sebenarnya yang dikatakan bahawa keempat-empat rukun itu sedang berada dalam keadaan atau suasana yang 'baik dan wajar'. Bagaimana pula ciri-cirinya? Dalam konteks ini, al-Ghazali menjelaskan dalam lhya` 'Ulum al-Din: "Adapun kekuatan ilmu, maka kebaikan dan kesesuaian kewajarannya berada pada keadaan di mana dengan kekuatan ilmu tersebut memudahkan pemiliknya faham serta boleh membuat perbezaan di antara kebenaran dan kedustaan dalam kata-kata, membuat perbezaan di antara al-haq dan al-batil dalamakidah, dan membuat perbezaan di antara yang baik dan yang buruk dalam laku perbuatan. Apabila baik sejahtera daya kekuatan ilmu ini, ia akan menghasilkan hikmah; dan hikmah itu pula merupakan pangkal utama kepada perlakuan akhlak yang baik. Hikmah seumpama inilah yang terungkap dalam firman Allah S.W.T: (maksudnya):


"Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat kebijaksanaan itu, maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak."
[al-Baqarah (2): 269]

Adapun kekuatan marah pula, maka kebaikannya berada pada keadaan di mana pemiliknya menjadikan suasana tertekan dan suasana lapang, kedua-duanya diperlakukan mengikut had dan kadar yang dituntut dan diperlukan oleh hikmah. Demikian pula halnya dengan kekuatan syahwat di mana kebaikan dan kewajarannya berlaku apabila ia berada di bawah panduan hikmah; iaitu yang dimaksudkan oleh al-Ghazali, ia berada di bawah panduan akal dan syarak. Sedangkan kekuatan keadilan pula, ia merupakan usaha penyesuaian syahwat dan marah supaya sentiasa berada di bawah panduan dan petunjuk akal serta syarak.


Al-Ghazali menjelaskan kepada kita beberapa contoh serta perbandingan ibarat untuk memperkukuhkan pandangan beliau:


"Bandingan akal itu adalah bagaikan penasihat dan penunjuk jalan, sedangkan kekuatan keadilan pula merupakan kuasa di mana bandingannya bagaikan pelaksana atau penguasa yang bertanggungjawab menentukan terlaksananya petunjuk akal. Marah pula ialah ejen yang melaksanakan petunjuk akal tersebut.

Bandingan kepada marah itu adalah bagaikan seekor anjing pemburuan; maka ia perlu diajar dan dilatih sehingga tabiat serta kegemarannya menjadi selaras dengan petunjuk akal, bukannya selaras dengan desakan dan dorongan hawa nafsu.

Sedangkan syahwat itu bandingannya bagaikan seekor kuda tunggangan yang ditunggangi sewaktu melakukan pemburuan; maka ia kadang-kadang cukup terlatih dan terampil, dan kadang-kadang ia cukup liar sekali.


Oleh itu, sesiapa yang menjadi cemerlang dan seimbang semua sifat serta ciri ini, maka dia, secara mutlak, merupakan seorang yang berakhlak baik.


Orang yang cemerlang dan seimbang sebahagian sahaja daripada sifat-sifat berkenaan, maka dia akan berakhlak baik hanya pada bahagian yang berkenaan sahaja, iaitu sama seperti orang yang hanya cantik pada sebahagian daripada wajahnya sahaja, tidak pada seluruh wajahnya.

Berada dalam keadaan baik dan seimbangnya kekuatan marah itu, maka ia digelarkan sebagai berani (al-shaja`ah).

Sedangkan, kekuatan syahwat yang mencapai taraf atau berada dalam keadaan baik dan seimbang diistilahkan sebagai 'iffah.

Sekiranya kekuatan marah itu menjadi condong daripada keadaan seimbang terdorong ke arah yang berlebihan, maka ia digelarkan sebagai gopoh atau terburu nafsu dan sekiranya ia condong terdorong ke arah lemah dan berkurangan, maka ia digelarkan sebagai pengecut dan tidak bersemangat. Sekiranya kekuatan syahwat cenderung ke arah berlebihan, maka ia dinamakan tamak atau pelahap. Sedangkan jika ia terdorong ke arah lemah dan berkurangan, maka ia dinamakan sebagai jumud.

Apa yang terpuji dan mulia itu ialah yang berada dalam keadaan seimbang atau pertengahan; itulah yang digelar sebagai fadilah atau kebaikan. Sedangkan dua pihak yang lain sama ada berlebih atau berkurang kedua-duanya adalah buruk dan tercela.

Berhubung dengan keadilan apabila ia hilang atau terhapus, ia tidak ada aspek lebih atau berkurang, malah lawan dan pertentangannya hanya satu sahaja, iaitu kezaliman. "


Dengan itu, jelaslah kepada kita bahawa akhlak yang baik itu akan hanya dapat dimiliki oleh seseorang manusia apabila setiap diri manusia tersebut berupaya mengembang dan membawa potensi-potensi diri yang mereka miliki iaitu upaya ilmu, kekuatan marah, kekuatan syahwat dan kekuatan keadilan ke arah yang diredai oleh akal murni dan syarak. Justeru itu, dapat pula kita fahami secara umum bahawa apa yang dimaksudkan dengan akhlak yang baik itu ialah apa-apa juga perlakuan yang muncul di permukaan diri manusia hasil terjemahan kepada suatu keadaan yang sudah sedia sebati dalam dirinya dan mestilah pula sesuai dengan kehendak syarak dan akal murni manusia.

sumber (dengan sedikit perubahan)



Jun 15, 2009

Puisi : Aku Bimbang, Khuatir







Aku sungguh bimbang sekali

Bahawa umat kita tidak akan bangkit lagi

Bukan kerana tiada pemimpin berwibawa di setiap bidang

Bukan kerana pertumbuhan ekonomi tidak cemerlang

Bukan kerana suasana politik yang tiada aman

Bukan kerana rakyat jelata malas berusaha siang malam



Aku khuatir umat kita tidak akan bangkit lagi,

Kerana pemimpin berwibawa di setiap bidang tidak didengarkan

Suara mereka yang berani-benar tentu tidak menyedapkan

Cadangan mereka mengislahkan perkara mengambil masa

Bukan untuk cepat mencari untung mengira laba

Bukan juga untuk menangi pilihan raya kan tiba

Bukan untuk menagih liputan media massa

Hanya inginkan kejayaan berkekalan

Mendapat keredhaan di dua kehidupan



Aku khuatir umat kita tidak akan bangkit lagi,

Kerana pertumbuhan ekonomi cemerlang tidak digunakan

Untuk mengukuh akhlak tinggi di peringkat atasan

Yang mudah berubah dengan longgokan kekayaan

Yang takabbur lalu merendah bidang tak menguntungkan.



Aku takut umat kita tidak akan bangkit lagi

Walau ekonomi melambung tinggi

Umatku sibuk membeli saham menjual budi

Anggap sekolah, madrasah tidak bererti jika gagal meningkatkan gaji

Universiti tidak dinilai secara insani, hanya patuh nafsu industri

Yang sering berubah mengikut pasaran

Pasaran berubah mengikut perasaan.



Aku bimbang walaupun suasana politik begitu aman

Rakyatku sentiasa ditakutkan dengan cerita khayalan

Tidak berani menyata kata walau hak didusta selalu

Tidak sanggup membuka mata walau muka diconteng melulu

Tidak malu membuat fitnah walau berada di pintu Kaabah

Tidak gentar pada al-Haqq kerana takut hilang anugerah.



Aku bimbang umatku tidak akan bangkit lagi

Kerana yang malas selalu diganjari

Kerana pandai memuji tinggi

Kerana terlalu tunduk mematuhi

Tanpa mengira ajaran amaran Ilahi

Tanpa mengikut undang-undang negeri

Ulama dapat dibeli, hakim dapat ditakuti.



Bagaimana kita akan bangkit semula melawan musuh

Jika ayam jantan yang senang berkokok setiap subuh

Membuka mata bangsa, menjernihkan yang lama keruh

Dipotong lidahnya, disepak terajang si anak bodoh?



Aku sungguh bimbang kita akan terus begini

Kerana puyuh pentadbir diangkat mengawal helang ilmi

Tata-cara sekolah rendah diguna-pakai di universiti tinggi

Kaedah mengurus wang dipertuhankan, dianggap suci

Diguna membangun insan, menilai sumbangan ulama dan Nabi.



Kita akan terus begini seribu tahun lagi

Kerana tabiat buruk membazir sentiasa diulangi:

Suka merungkai semula ikatan yang telah diikat kejap

Membuka kembali tenunan halus nan telah lama siap

Menebang pokok meranti tinggi, rendang dan tegap

Semata-mata kerana benci, dengki dan hasad!



Bagaimana kita akan bangkit semula

Memimpin dunia mendapat syurga?

Jika ibu-bapa pintar melahir anak cuma

Jika pelajar hanya mahu lulus periksa dan cari kerja

Jika guru, pensyarah kehilangan arah

Ilmu terpaku di dada ijazah

Jika peniaga bermain politik, bertuhankan laba

Ahli politik memperniaga prinsip dan akhlak segala

Jika cendekiawan cuma mengikut dan membuat komentar-

Cekap mengubah fakta, meminda makna, mengejar kuasa

Adam akan menyesal

Dan Iblis berkenduri besar.



sumber