Mei 10, 2009

Fiqh al-Hadharah: Satu renungan awal (Siri 2)

sumber



Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, teman-teman yang dikasihi yang diberkati Allah hendaknya dalam kehidupan moden yang penuh tipudaya ini.


Segala Puji bagi Allah Tuhan Empunya Sekalian Alam, 
Ya Allah! Yang dengan keperkasaan kegagahanMu, dengan kepantasan kedatangan pertolonganMu, dengan kecemburuanMu terhadap pencerobohan kehormatanMu dan dengan perlindunganMu ke atas orang yang mendapat perlindungan dengan ayat-ayatMu;


Ya Allah, Limpahkan rahmat dan kesejahteraan keatas kekasihMu yang juga kekasih kami al-Mustafa, para anbiya' wal-mursalin, para malaikat al-muqarrabin, para hambaMu yang solehin dari kalangan awliya', syuhada' dan ulama' dan juga sekalian penduduk-penduduk langit dan bumi yang mengikuti jejak-langkah mereka itu sehingga ke hari kiamat.


 
Fiqh al-Hadharah sebagai satu kerangka besar kehidupan adalah lanjutan dari tradisi kesarjanaan Islam berhubungan dengan peranan dan kedudukan insan dalam melaksanakan amanah sebagai 'abdillah  dan khalifatullah fil'ardh. Al-Farabi mengungkapkannya dalam Madinah al-Fadhila, Ibn Khaldun pula dengan Ilm al-'Umran dan Umran Hadhari, Shah Waliyyullah al-Dahlawi menggagaskan model Irtifaqat ke arah masyarakat rabbaniyyah illahiyyah.

 

Literatur Nasihat al-Mulk dan Adab al-Din wal Dunya karangan para ulama kita banyak sekali mengupas dan mengulas persoalan tadbir-urus atau governance individu dan masyarakat. Malah Shaykh al-Akbar Muhyiddin Ibn 'Arabi mengarang al-Tadbirat al-Ilahiyyat fi al-Mulk al-Insan(Pentadbiran Ketuhanan dalam Kerajaan Kemanusiaan). Justeru saya menggangap Fiqh al-Hadharah ini sebagai satu usaha ilmiah/amaliah bagi membina satu kerangka governan diri dan negara berdasarkan tradisi pandangan (worldview) dan pengalaman (lifeworld) Islam.


 
Tetapi sebelum kita boleh mengungkapkan secara tuntas Fiqh al-Hadharah dari tradisi kita, wajar untuk kita mengenali danmenyedari konteks kehidupan semasa yang mana Fiqh al-Hadharah ini ingin dilaksanakan iaituKEHIDUPAN DAN DUNIA MODEN. Maka tidak dapat tidak kita mesti memahami apa itu MODENITI, MODENISME, MODENISASI, dan pemikiran MODEN. Ini kerana individu dan masyarakat berfikir dan bertindak berdasarkan latarbelakang konteks, paradigma-paradigma ilmu yang telah mereka lalui selama kehidupan mereka. Paradigma, kerangka konsep, tasawwur, pandangan alam dan kehidupan semasa kita mestilah dijelaskan terlebih dahulu sebelum kita ingin mengemukakan alternatif baru paradigma atau tasawwur tesebut. "Thinking out of the box" atau berfikir diluar tempurung mestilah diusahakan terlebih dahulu sebelum perubahan benar-benar boleh berlaku. 


 
Secara ringkasnya, Modeniti sebagai satu manifestasi kebangkitan semangat zaman dan lingkungan masyarakat yang kemudiannya mencetuskan ideologi modenisme bermula di Eropah sekitar abad ke 17. Modenisasi dianggap sebagai satu proses/usaha masyarakat Eropah membebaskan diri mereka dari belenggu tradisi dan autoriti khususnya gereja dan agama. Semangat zaman dan lingkungan modeniti cubamemutuskan diri mereka dengan tradisi dan autoriti ini dengan memisahkan era kehidupan kontemporari dari era kehidupan sebelum mereka yang dinamakan sebagai Medieval Era (Era Pertengahan) dan sebelum itu Ancient Era (Era Purba). Justeru Modern Era adalah satu proses "tajdid/islah" Eropah untuk meninggalkan Medieval Era dan Ancient Era  yang mereka anggap membebankan kehidupan semasa.


Slogan-slogan seperti The Age of DiscoveryThe Age of ReasonThe RenaissanceThe EnlightenmentThe Reformation semuanya merujuk kepada semangat modeniti. Slogan-slogan teoritikal ini dipropagandakan dari abad ke 17 yang kemudiannya diterjemahkan secara praktikal dalam Revolusi Perindustrian di Britain, Revolusi Politik di Amerika dan Perancis pada abad ke 18, dan pada abad ke 19 dan 20 pula modeniti telah disulam sepenuhnya ke dalam kehidupan sosial-ekonomi-politik, sains, teknologi dan inovasi, industri, budaya dan ketenteraan. Apa yang kita disogokkan oleh idea-idea modeniti seperti secularism, liberalism, developmentalism, urbanism, cosmopolitanism, positivism, globalism malah post-modernism (pasca-modenisme) itupun tidak lain dan tidak lari dari semangat modeniti, proses modenisasi dan ideologi modenisme.


 
Dari sejarah tercetusnya modeniti yang sebenarnya adalah penentangan masyarakat Eropah terhadap dogmatisme, kejumudan, kelesuan, bebanan silam beberapa hakikat dan sifat modeniti boleh kita kenalpasti:


1) Antrophocentric worldview and way of life: Sikap dan keyakinan bahawa keupayaan semasa manusia adalah paksi/kunci pembentukan kehidupan dan pandangan alam.

 
2) Rejection of tradition and traditional valuesIni sekaligus menafikan peranan tradisi dan autoriti dalam menentukan pandangan alam dan peraturan kehidupan.


3) Sacralization of society: Sebagai ganti kepada tradisi dan autoriti, masyarakat sendiri menjadi penentu kebenaran khususnya apa yang disebut sebagai suara majoriti.


4) Akibat dari mengkuduskan masyarakat, maka kehidupan pragmatik/praktikal sosial-ekonomi-politik menjadi tumpuan utama kehidupan mengatasi kepentingan penjernihan akal, pembersihan ruh, peningkatan diri yang menjadi fokus utama kehidupan pra-modeniti. 


5) Obsesi terhadap kehidupan lahiriah ini menjadikan modeniti sangat menekankan soal fakta, visuality dan visibility dalam menilai kebenaran justeru membentuk satu faham epistemologi tentang kebenaran/ilmu yang rasionalis (bergantung kepada akal-ratio), empiris (bergantung kepada panca-indera) dan materialis (bergantung kepada kebendaan zahiriah).


6) Dan akhirnya ontologi modeniti hanya meyakini perkara-perkara yang dianggapa objektif dan real pada kehidupan zahiriah, menolak metafizik apatah lagi perkara-perkara ghaybiat.



Kesimpulan setakat ini menunjukkan bahawa sebarang bentuk perubahan individu dan masyarakat mestilah dimulakan dengan pemahaman dan perubahan epistemologifaham ilmu dan kebenaran dan juga pemahaman dan perubahan ontologi, faham wujud dan kehidupan. 

 

Tanpa pemahaman dan perubahan epistemologi dan ontologi tidak mungkin sebarang perubahan besar dalam diri dan masyarakat boleh berlaku. Perkara sebenarnya telah lama diperkatakan oleh Malek Bennabi, Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dan saya juga mendapati Prof. Muhammad Said Ramadhan al-Buti dalam buku beliau Manhaj al-Hadharah al-Insaniyyah fi al-Qur'an juga membahaskan soal ontologi, hakikat insan, kehidupan dan alam dan juga epistemologi, hakikat ma’rifah dalam mengemukakan pandangan beliau. 
 


InsyaAllah kita akan menyambung perbincangan ini bi iznillah.
Al-Dhaif ilallahi al-Qawiy Ibn Muhammad


Dr. Amran Muhammad,

Setiausaha Agung

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan